Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 28 Nov: Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) sekali lagi menegaskan keprihatinan terhadap penindasan berterusan dan kemungkinan pendakwaan ke atas Profesor Dr Abdul Aziz Bari (gambar) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, oleh pihak berkuasa. “Kami mendesak pihak yang berkepentingan supaya memberhentikan dan menarik balik segala penyiasatan dan prosiding tatatertib yang bertujuan untuk mengugut para pensyarah dan mahasiswa daripada menyuarakan pandangan mereka mengenai isu-isu semasa yang mendesak,” kata pengerusinya, Prof Wan Abdul Manan Wan Muda. Menurutnya, Prof Aziz adalah seorang sarjana yang disanjung tinggi oleh rakan akademik dan masyarakat awam kerana kepakaran beliau dalam bidang perlembagaan Malaysia yang menyentuh undang-undang dan masyarakat. Katanya, walaupun Aziz Bari telah menerbitkan beberapa buku mengenai perlembagaan Malaysia, namun beliau terus dianiaya oleh pelbagai pihak termasuk pasukan polis, ahli politik dan juga universiti beliau sendiri akibat menyuarakan pandangan dan tafsiran berdasarkan kepakaran bidang beliau. Beliau berkata, para advokat perdebatan umum dan tindakan tanpa kekerasan (non-violence) kelihatan cuba dihapus oleh kuasa pemerintah dan aparat mereka. Ujarnya, Prof Aziz kini menjadi simbol penentangan terhadap sejarah panjang penindasan akademik dan pembrangusan keras di Malaysia. Amat mendukacitakan, katanya masalah kebebasan intelektual dan kebebasan bersuara di Malaysia mempunyai rekod yang buruk dan terus merosot. Menurutnya, pada 2011, pihak World Press Freedom Index meletakkan Malaysia pada tahap ke 143 dari senarai sebanyak 196 buah negara, manakala Malaysia berada pada tangga ke 124 semasa pimpinan sekarang mengambil alih kuasa pada tahun 2008. Tambahan lagi, katanya jaminan perlembagaan tentang kebebasam bersuara, kebebasan akhbar dan kebebasan berhimpun disekat menerusi pelbagai peruntukan dan secara amalan sangatlah terhad. “Sebarang pendakwaan terhadap Prof Aziz Bari atas sebab beliau mengamalkan kebebasan bersuara beliau bertentangan dengan kewajipan Malaysia untuk mengiktiraf kebebasan berfikir, suara hati dan beragama; kebebasan bersuara, dan kebebasan berhimpun dan berpersatuan sebagaimana diperuntukkan oleh Perlembagaan Malaysia,” ujarnya dalam satu kenyataan. Justeru itu, katanya sebarang usaha untuk mengugut dan menakutkan para mahasiswa dan profesor atas sebab mereka menggunakan kebebasan bersuara dan berhimpun mereka sekaligus mencabul undang-undang Malaysia dan antarabangsa. Menurutnya lagi, menghukum mereka yang menyuarakan komentar dan pandangan yang mengkritik status quo adalah pengkhianatan kepada kebebasan akademik yang merupakan sebahagian dari kebebasan bersuara dan memberi pendapat. Juster, tegasnya Universiti Islam Antarabangsa Malaysia perlu menarik balik serta menghentikan sebarang siasatan dan pendakwaan tatatertib terhadap Aziz Bari. “Kami berpendapat institusi pendidikan tinggi perlu menjunjung tinggi dan mempertahankan kebebasan akademik, dan juga universiti perlu menjadi taman ilmu untuk kebebasan melahirkan idea dan pandangan,” katanya. Ini, tambah beliau bermakna universiti juga perlu menjadi sebuah tempat perlindungan untuk menyuarakan pandangan yang kontroversi. “Kami menyambut baik usaha rakan-rakan akademik tempatan dan antarabangsa yang telah memberi sokongan yang padu dan jelas serta sama-sama mempertahankan kebebasan akademik dan kebebasan bersuara dengan berani dalam isu yang kami bangkitkan ini, dan kami tetap berdiri teguh mempertahankan Profesor Aziz Bari,” katanya lagi. |
Fandi Ahmad Tidak Tolak Kemungkinan Rombak Pemain Sri Pahang FC Apabila
Berdepan JDT Selasa Ini
-
*KUANTAN:* Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad tidak menolak kemungkinan
melakukan rombakan pemain apabila berdepan pendahulu Liga Super, Johor
Darul T...
22 hours ago
0 comments:
Post a Comment