Bunga Api


Monday, November 21, 2011

Media dilarang siar gambar Sultan Ismail Petra


Jawatankuasa Pemantauan, Keistimewaan dan Keselamatan bekas Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra melarang semua media massa menyiarkan sebarang bentuk gambar baginda berkuatkuasa serta-merta.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, merangkap pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim berkata jawatankuasa berpendapat pada masa ini adalah tidak sesuai bagi media massa iaitu televisyen, akhbar-akhbar dan mana-mana penerbitan termasuk secara maya menyiarkan sebarang bentuk gambar-gambar baginda.

"Oleh itu, semua penyiaran sebarang bentuk gambar-gambar baginda adalah dilarang sama sekali dan arahan itu diperkenankan oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V," katanya pada sidang media di Kota Bharu, semalam.

Hadir sama pada sidang media itu Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Datuk Dr Ghazali Hasni Md Hassan, doktor pakar Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian Datuk Prof Dr Wan Mohamad Wan Bebakar dan Pengelola Istana Diraja Kelantan Datuk Ahmad Mahmood.

Beliau bagaimanapun berkata larangan itu tidak melibatkan berita-berita mengenai baginda yang dianggap boleh memberi kesan positif serta tidak bercanggah dengan etika kewartawanan.

Difahamkan sebelum ini beberapa akhbar tempatan menyiarkan gambar Sultan Ismail Putra yang masih gering di majlis santapan makan malam sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan, di Kota Bharu, Jumaat lalu.

Zainuddin berkata jawatankuasa itu menerima maklum bahawa pada masa ini Sultan Ismail Putra masih lagi menerima rawatan berterusan dan menunjukkan sedikit peningkatan kepada status kesihatan baginda.

Jawatankuasa itu yang dibentuk beberapa tahun lepas turut dianggotai Pengarah Kesihatan Kelantan Datuk Dr Nordianah Hassan, Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim dan Pengarah Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Prof Datuk Dr Mafauzy Mohamed.
-Bernama-

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...