Bunga Api


Monday, November 21, 2011

Pakatan mahu Dun Perak bersidang 5 hari


Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 20 Nov: Pakatan Rakyat Perak mahu sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) dan pembentangan Bajet 2012 negeri itu yang bermula esok diadakan sekurang-kurangnya lima hari.

Adun Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim berkata, pembentangan bajet perlu mengambil masa beberapa hari bagi membolehkan ianya dibahaskan semasak-masaknya sebelum diluluskan.

"Kita minta sidang kali ini sekurang-kurangnya lima hari untuk kita membahaskan bajet. Jangan bersidang beberapa jam sahaja, terus luluskan bajet," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak itu juga berkata, semua Adun Pakatan akan hadir esok dan sudah menghantar soalan-soalan yang akan dikemukakan sewaktu persidangan.

"Adun Pakatan sudah terima notis dan saya dimaklumkan bahawa semua dapat hadir esok. Kita juga sudah menghantar soalan-soalan dan bersedia untuk berbahas," katanya yang juga pengerusi sekretariat Pakatan Rakyat Perak.

Menyentuh mengenai bajet, beliau berkata, BN harus membuktikan mereka lebih baik daripada Kerajaan Pusat dengan mengelakkan bajet yang defisit.

"Kita harap kalau kerajaan BN adalah kerajaan yang mampu membuktikan pentadbiran yang cekap, mereka mesti pastikan defisit yang selama ini berlaku ditiadakan.

"Kalau Kerajaan BN ajar Perak defisit selama 14 tahun, sekarang Kerajaan Negeri kena buktikan mereka terbaik daripada Kerajaan Pusat," katanya.

BN kena patuh arahan

Sementara itu, beliau mengingatkan kerajaan BN agar tidak menimbulkan kekecohan di persidangan sebelum yang berlaku sebelum ini.

Katanya, kerajaan BN tidak layak menasihatkan Adun Pakatan agar menjaga sikap kerana mereka dahulu yang memulakan tindakan tidak demokrasi.

"Jangan nasihatkan Adun Pakatan supaya tidak menimbulkan kekecohan kerana soal kecoh timbul disebabkan BN yang tidak patuhi peraturan asal dan semuanya berlaku kerana mereka merampas kerajaan negeri.

"Saya harap sidang kali ini berjalan lancar dan segala keperluan dalam keadaan baik seperti alat pembesar suara. Sebelum ini alat pembesar suara sebelah Pakatan ditutup dan saya rasa inilah satu-satunya Dun di dunia yang berlaku demikian," katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...