Bunga Api


Sunday, November 20, 2011

Isu Fidlot : Kongres Melayu Pulau Pinang cabar Shahrizat letak jawatan.



Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP) mencabar Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil meletakkan jawatan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, berikutan dakwaan penyelewengan wang rakyat oleh projek ternakan lembu, National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) yang dimiliki, suaminya.


Dalam satu kenyataan media, presiden KMPP, Rahmad Isahak berkata, kepercayaan rakyat terhadap Shahrizat yang juga ketua wanita Umno telah hilang akibat dakwaan tersebut dan beliau kini tiada pilihan lain selain meletakkan jawatan.

"Sebagai seorang insan yang dilahirkan di Pulau Pinang beliau juga perlu membersihkan imejnya khususnya kepada orang Melayu di sini.

"Oleh yang demikian pihak KMPP dengan ini dalam situasi tanpa prasangka mencabar beliau supaya meletakkan jawatan sebagai menteri kerajaan pusat disebabkan beliau tidak layak dan telah kehilangan kepercayaan rakyat," katanya.

Sambil menyifatkan skandal tersebut sebagai satu lagi episod malang melanda negara, Rahmad juga menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan pendirian dan mengambil tindakan tegas jika dakwaan tersebut benar.

"Perkara berbangkit di sini yang menjadi 'crux of the case' tentang kewujudan yang nyata ke atas pembelian kondominium bertempat di One Menerung, Bangsar yang dikatakan pembelian hartanah berkenaan adalah bagi mendapatkan pulangan pelaburan memandangkan projek lembu Feedlot oleh NFC mengalami kelewatan operasi.

"Perlu diingat bahawa modus operandi syarikat NFC untuk mendapatkan pinjaman modal berkenaan adalah bagi tujuan industri penternakan dan bukannya pelaburan hartanah. Secara tidak langsung telah wujud situasi penyelewengan dan pecah amanah yang melampaui keraguan munasabah," kata Rahmad.

Tak boleh nafi lagi

Menurut beliau, walau apapun spekulasi yang timbul Shahrizat tidak boleh menafikan bahawa dia tidak mempunyai pengetahuan tentang kewujudan NFC. Begitu juga soal pinjaman modal oleh pihak kerajaan dan pembelian kondominium mewah berkenaan.

"Penafian beliau secara total bakal mengundang padah kepada parti pemerintah dan seterusnya mendatangkan liabiliti yang tidak berharga kepada negara kita.

"Orang-orang Melayu khususnya sedang menilai situasi ini secara serius," katanya.

Pakatan Rakyat awal bulan lalu mendakwa kerajaan persekutuan menyalurkan pinjaman mudah sebanyak RM250 juta kepada syarikat NFC berkenaan bagi tujuan industri penternakan lembu.

Bagaimanapun ia didakwa tidak berjaya mencapai sasaran pengeluaran malah Laporan Ketua Audit Negara 2010 juga menyebut projek berkenaan dalam keadaan 'kucar-kacir'.

Sebelum ini desakan sama, yang menuntut Shahrizat meletak jawatan, turut disuarakan oleh ahli parlimen BN sendiri iaitu Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan).

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Ahli Parlimen BN (BNBBC) mendakwa tindakan menteri itu berkaitan Fidlot telah menyusahkan Umno Barisan Nasional.

"Kalau saya pada tempat ini, saya letak jawatan, menyusahkan. Dia punya kerja semua musnah. Mana tidak betul, kita kena betulkan.

"Walaupun dia menteri Umno, siapa dia, dia bersalah, letak jawatan lebih baik daripada jadi liabiliti keapda Umno dan Barisan. Kita tegas, sebab kita memerintah negara ini dengan adil," kata Bung.

Malaysiakini

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...