Bunga Api


Wednesday, November 23, 2011

Akta Perhimpunan Aman percepat ajal Umno BN


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 22 Nov: Lajnah Undang-Undang Guaman dan PAS Pusat memandang serius tindakan Kerajaan Barisan Nasional membentangkan rang undang-undang yang dikenali sebagai Akta Perhimpunan Aman 2011 yang menggantikan Akta Polis 1967.

AJK PAS Pusat, Mohamed Hanipa Maidin (gambar) berkata, setelah meneliti beberapa peruntukkan di dalam rang undang-undang tersebut, mana-mana orang yang waras pemikirannya akan dengan mudah memahami ia adalah akta yang bersifat mencegah atau melarang sama sekali sebarang perhimpunan di negara ini.

Menurutnya, menamakan rang undang-undang itu dengan Akta Perhimpunan Aman dalam keadaan akta tersebut hakikatnya melarang sama sekali sebarang perhimpunan adalah jelas satu lagi siri penipuan Kerajaan BN Umno dan Datuk Seri Najib ke atas rakyat.

Ujarnya, Akta Perhimpunan Aman sepatutnya memudahkan perhimpunan aman bukan menyusahkan perhimpunan aman.

Beliau berkata, jika Akta Polis 1967 khususnya seksyen 27 dan 27A sudah bersifat ‘draconian dan zalim, akta yang ingin digubal itu beribu-ribu kali lebih zalim daripada Akta Polis yang ingin diganti.

Katanya, hanya kerajaan zalim seperti Umno sahaja berupaya terfikir untuk menggubal akta sezalim itu.

“Sebagai peguam dan AJK PAS Pusat, saya akan mengusulkan kepada pihak PAS untuk mencabar rang undang-undang ini di mahkamah supaya ianya tidak akan dimuktamadkan sebagai akta.

“Pada hari ini kami peguam PAS akan melancarkan secara rasmi ‘perang’ ke atas akta zalim ini melalui saluran undang-undang yang sedia ada,” tegasnya.

Pada masa ini, beliau berpendapat rang undang-undang itu adalah secara jelas unconstitutional kerana ianya bertentangan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, meskipun Perkara 10 membenarkan sebarang akta digubal oleh Parlimen untuk menghadkan perlaksanaan hak berhimpun namun had tersebut tidak boleh sama sekali sampai ke tahap menghapuskan sama sekali hak rakyat kepada perhimpunan aman.

Tambahnya, secara jelas akta yang ingin digubal mempunyai motif sebegitu.

“Pengalaman saya mengendalikan banyak kes yang melibatkan tuduhan perhimpunan haram khususnya yang melibatkan ahli dan pemimpin PAS menunjukkan bahawa akta ini digubal sebagai manifestasi kekecewaan pihak Kerajaan melalui Peguam Negara yang acap kali tewas di dalam kes-kes yang melibatkan tuduhan perhimpunan haram,” ujarnya.

Katanya, amat malang Peguam Negara dan Kerajaan Umno BN tidak menunjukkan sebarang perubahan yang positif di dalam rekodnya yang sedia buruk dalam isu pencerobohan hak asasi khususnya dalam isu perhimpunan aman.

Baginya, akta yang ingin diluluskan di Parlimen itu memburukkan lagi wajah buruk Kerajaan BN dan Peguam Negara.

“Apa pun percayalah akta ini akan mempercepatkan lagi ajal Kerajaan Umno BN insya Allah,” ujarnya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...