Ketika 1.75 juta pekerja asing mahu diputihkan dengan mendaftarkan mereka menggunakan sistem Biometrik.. SPR juga bersungguh-sungguh mahu menggunakan sistem tersebut..
Adakah ianya kebetulan atau telah dirancang? Adakah korang yakin tidak ada satu pun data PATI itu akan diserap kedalam pengkalan data milik SPR?
Biometrik: 1.3 juta belum daftar
PUTRAJAYA 26 Julai – Ke manakah mereka? Tinggal lima hari lagi Program Pendaftaran Biometrik Pekerja Asing Yang Sah berakhir tetapi lebih 1.3 juta pekerja asing yang sepatutnya mengambil peluang pendaftaran itu belum berbuat demikian.
Sehingga semalam, hanya 390,404 daripada 1.75 juta pekerja asing mendaftar sejak program bermula 13 Julai lalu, sedangkan Kementerian Dalam Negeri menegaskan tempoh akhir Ahad ini tidak akan dilanjutkan
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau sedang mempertimbangkan untuk memberikan ‘keistimewaan’ kepada majikan dan pekerja asing yang mendaftar awal dalam program berkenaan.
“Saya sedang mempertimbangkan bila masa program pemutihan nanti, kita beri keutamaan kepada majikan yang memerlukan pekerja asing kepada majikan yang mendaftar awal.
“Lagi lambat (majikan mendaftar), lagi susah dia nak dapat pekerja asing. Jangan salahkan saya kerana bila kita suruh mereka buat (daftar), mereka liat nak pergi tetapi bila nak pekerja asing, macam-macam alasan diberikan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan operasi pendaftaran pekerja asing sah di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen di sini, hari ini.
Hishammuddin berkata, program yang dilaksanakan kerajaan itu bukan bertujuan untuk berseronok atau menyusahkan orang ramai sebaliknya, ia mempunyai agenda yang lebih besar terutamanya dalam menjamin keselamatan negara.
Katanya, program transformasi besar-besaran Jabatan Imigresen itu juga dapat menangani pelbagai masalah dan cabaran, antaranya mengatasi situasi kemungkinan pekerja sah lari meninggalkan majikan asal untuk menyertai Program Pemutihan, membendung isu pemerdagangan manusia dan sebagainya.
Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga dapat mengetahui jumlah sebenar pekerja asing di negara ini, yang kemudiannya akan disalurkan ke sektor-sektor tertentu mengikut jumlah keperluan mereka.
“Bagi pekerja asing yang masih mempunyai permit yang sah dan lari daripada majikan, kita akan senaraihitamkan mereka dan tidak akan dibenarkan menyertai Proram Pemutihan,” katanya.
Beliau turut memberi amaran kepada pihak-pihak tertentu supaya tidak mengambil kesempatan terhadap program yang dilaksanakan kerajaan itu untuk mengaut keuntungan kerana ia boleh menjejaskan nama negara.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, walaupun jumlah yang mendaftar masih kurang, beliau percaya angka itu akan meningkat dalam tempoh beberapa hari lagi kerana mengikut rekod Jabatan Imigresen, terdapat 1.75 juta pekerja asing sah yang bekerja di negara ini.
Katanya, setakat ini beliau berpuas hati dengan operasi pendaftaran itu di kesemua 37 pejabat imigresen seluruh negara kerana purata tempoh yang diambil bagi mendaftar seseorang pekerja asing hanya mengambil masa dua minit sahaja.
“Secara umumnya saya berpuas hati dengan operasi pelaksanaan pendaftaran yang dilaksanakan di semua pejabat Imigresen seluruh negara khususnya komitmen tinggi yang ditunjukkan setiap petugas Jabatan Imigresen yang sanggup bekerja sehingga lewat malam termasuk beroperasi 24 jam,” katanya.
Lidah Rasmi UMNO
0 comments:
Post a Comment