Perangkaan rasmi polis setakat jam 3.30 petang tadi, menunjukkan 924 orang telah ditangkap pada perhimpunan BERSIH 2.0 hari ini.
Daripada jumlah itu 49 adalah wanita.
PAS pula mendakwa tidak kurang 300 pemimpin dan ahlinya juga ditangkap.
Mereka termasuk presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya Mohamad Sabu dan dua naib presiden parti itu - Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub.
Menurut Harakahdaily, pasukan peguam PAS setakat ini telah merekodkan 133 nama dari lebih 300 yang ditangkap oleh polis sehingga jam 4 petang ini.
Abdul Hadi bersama setiausaha politiknya, Dr Shamsuri Mokhtar ditangkap di KL Sentral. Kedua-duanya mereka dibawa ke balai polis Jinjang.
Sebelum itu, Salahudin dan Mahfuz juga ditangkap di KL Sentral dan dibawa ke balai yang sama.
Selain mereka turut ditangkap adalah Pengerusi BERSIH 2.0 Datuk Ambiga Srenavasan dan naib presiden PKR Tian Chua.
Pakatan Rakyat juga membidas tindakan ganas polis hari ini sehingga mencederakan pemimpinnya dan juga rakyat yang cuba berhimpun secara aman.
Semasa perhimpunan itu, beberapa pemimpin juga dilaporan cedera.
Mereka termasuk ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said.
Selain mereka, turut menjadi mangsa adalah ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad apabila kanister gas pemedih mata ditembak di belakang kepalanya.
Menurut naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar polis berulang-kali melepaskan tembakan terus ke arah orang ramai hingga menyebabkan ramai yang cedera.
"Seorang pengawal peribadi Anwar luka di bahagian pipinya sepanjang empat inci mankala ketua pembangkang, iaitu ayah saya juga cedera. Adik saya juga ditahan dan dibawa ke trak FRU.
"Polis bukannya melepaskan tembakan gas pemedih mata ke udara tetapi menghalanya terus ke arah ahli parlimen sehingga mencederakan mereka. Sasaran mereka adalah kepala Anwar,” katanya.
Mengikut pengumuman BERSIH 2.0, perhimpunan sepatutnya berlangsung di Stadium Merdeka mulai jam 2 hingga 4 petang namun polis tidak memberikan kebenaran untuk berbuat demikian.
Malah, sekatan dibuat di seluruh Kuala Lumpur untuk menghalang peserta perhimpunan termasuk dari negeri lain daripada memasuki Kuala Lumpur.
Namun di sebalik segala sekatan dan hambatan yang dikenakan ke atas rakyat itu, puluhan ribu orang yang memberanikan diri dan turun ke jalanan di sekitar ibu negara. BERSIH 2.0 meletakkan jumlah yang keluar hari ini pada 50,000 orang.
Walaupun dikejar dan disembur meriam air serta tembakan gas pemedih mata, peserta berjayabergabung di Jalan Pudu berhampiran Menara Maybank. Namun tidak kurang 10,000 daripada mereka disuraikan dengan tindakan keras pihak berkuasa.
Beberapa stesen LRT dan monorail juga ditutup bagi menghalang ribuan lagi yang cuba menyertai perhimpunan itu.
Selain itu, Masjid Jamed Kampung Baru dan Masjid Negara yang sering-kali dijadikan lokasi berhimpun juga disekat polis.
Di Kampung Baru, pintu pagar masjid itu ditutup, manakala di Masjid Negara, orang ramai diarahkan mengosongkan majid itu termasuk mereka yang ingin menunaikan solat.
Tangkapan juga dibuat di Jalan Tun Sambanthan, Kampung Baru, KL Sentral, Bank Negara, LRT Taman Melati, Masjid Negara dan juga Dataran Merdeka.
Sehingga kini dua tempat dijadikan pusat tahanan sementara oleh polis menurut mereka iaitu Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak dan Balai Polis Jinjang. Dianggarkan jumlah yang ditangkap akan mencecah lebih seribu orang.
0 comments:
Post a Comment