Bunga Api


Wednesday, July 13, 2011

Bersih: 4 dibebas selepas ditahan 5 hari



BENTONG, 13 Julai: Empat penyokong PAS yang ditahan polis di sini Jumaat lalu atas dakwaan membawa senjata untuk ke perhimpunan Bersih 2.0 dibebaskan tanpa syarat pagi tadi.

Hakim Mahkamah Sesyen Bentong membuat keputusan membebaskan Mohd Azri Shamsuddin, Ahmad Kamal Shamsuddin, Mohd Asli Abdullah dan Yusri Yusof setelah pihak pendakwa menarik balik pertuduhan.

Keputusan yang diumumkan jam 10 pagi oleh peguam tertuduh Ahmad Nizam Hamid dan Harris Abdullah itu telah disambut laungan takbir dan tahmid oleh kaum keluarga serta penyokong di luar nahkamah.

Turut berada di mahkamah ialah Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Cabang PKR Bentong Mohd Nor Hasan dan kira-kira 80 orang penyokong.

Kesemua mereka selepas itu mengadakan Solat Sunat Syukur di Masjid Ketari dan kenduri kesyukuran di Felda Mempaga.

Menurut peguam Harris, keempat mereka pada mulanya ditahan atas kesalahan Seksyen 47 dan 50 Akta Pertubuhan.

Bagaimanapun semasa dibawa ke mahkamah Isnin lalu, mereka didakwa atas Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958.

“Semalam pihak pendakwa memohon untuk reman selama tiga hari, namun setelah berhujah dengan peguam pembela hakim hanya membenarkan sehari. Pagi ini dibebaskan,” katanya.

Sementara itu Mohd Asli ketika menceritakan penangkapan mereka, Jumaat lalu beliau memandu kereta ‘Storm’ dari Jengka dan mengikut jalan Bentong lama untuk ke Kuala Lumpur.

Sampai di kawasan berhampiran kolam air panas Bentong, kenderaannya telah ditahan oleh polis yang membuat sekatan jalan raya.

“Semasa menggeledah kereta saya, polis mendapati antaranya parang dan pisau yang selama ini saya gunakan untuk ke kebun. Lalu kami dibawa ke balai dan bermalam di lokap selama lima malam,” terangnya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...