Bunga Api


Saturday, July 30, 2011

Dekat Pilihanraya, Baru Sedar Barang Keperluan Mahal


Di antara tanda pilihanraya ialah setiap h hari ahli Pas masuk umno. Tanda kedua apabila pemimpin BN bercakap untuk membela rakyat kerana kenaikan harga barang. Hari ini pula media mengumumkan Datuk Seri Najib mengumumkan kerajaan akan memerangi kos kehidupan rakyat. Beliau dengan penuh bangga menyatakan bahawa kerajaan akan menambahkan lagi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu Perangi Kos Kehidupan Yang Kian Meningkat sebagai usaha membantu meringankan beban rakyat ekoran kenaikan kos harga barang makanan.

Ini adalah petanda pilihanraya sudah hampir. Dekat pilihanraya baru Datuk Seri Najib sedar barang keperluan rakyat melonjak tinggi. Datin Rosmah tidak tahu berapa harga gula sekilo. Beliau hanya tahu membeli belah dan boros berbelanja tanpa memikirkan majoriti rakyat terpaksa mengikat perut kerana kenaikan harga barang.


Malang rakyat Malaysia mendapat pemimpin yang reaktif, bukan pro aktif ketika merangka dasar pembangunan ekonomi rakyat. Kenapa sekarang baru hendak memikirkan untuk menjana tanah di negara ini supaya harga makanan tidak naik. Sudah berapa lama pemimpin pembangkang menasihat kerajaan supaya jangan tinggal industri pertanian, kerana ia melibatkan keselamatan makanan.


Malaysia sepatutnya tidak terkesan dengan iklim ekonomi dunia jika negara mempunyai asas kuat dalam sektor pengeluaran makanan. Sebaliknya Malaysia suka mengimport makanan supaya memberi peluang kepada suku sakat umno Bn, biar pun rakyat yang terbeban. Contohnya pada tahun 1996, import makanan (termasuk makanan ternakan) dan import pertanian adalah RM10.5 bilion berbanding dengan RM4.6 bilion pada tahun 1990. Pada tahun 2010 jumlah import makanan telah mencecah RM26.7 bilion.


Apabila dekat pilihanraya baru hendak berlakon kononnya pemimpin negara ini menyelami penderitaan rakyat. Kita menyeru rakyat Malaysia supaya menukar kerajaan yang lebih adil dan bijak mengurus. Ini telah dibuktikan di Kelantan walau pun dengan kekangan kewangan namun pemimpin yang diberi taufik oleh Allah memfokuskan kepada usaha untuk menyenangkan rakyat


Sepatutnya pemimpin Bn kena malu kepada Singapura, walaupun negeri mereka hanya ada udara dan matahari sahaja, namun mereka berjaya membangunkan ekonomi dengan berjaya untuk kesenangan rakyat mereka.


Ustaz Idris Ahmad

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...