Bunga Api


Sunday, June 5, 2011

Saf pimpinan PAS yang paling merunsingkan UMNO, kata Ketua DHPP

"Saf pimpinan baru PAS" yang lahir menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 ini disifatkan sebagai gandingan yang paling merunsingkan UMNO. Dengan empat pimpinan tertinggi yang dipilih, iaitu Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden, Salahuddin Ayub, Husam Musa dan Mahfuz Omar sebagai Naib Presiden, pilihan sedemikian ditafsir sebagai kebijaksanaan perwakilan untuk meletakkan pemimpin di tempat yang sesuai.

Demikianlah ulasan Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS, Hu Phang Chow ketika diminta MerdekaReview untuk mengulas kekalahan bekas Menteri Besar Perak, Mohd. Nizar Jamaluddin dengan undi terendah dalam pertandingan jawatan Naib Presiden.

Hu Phang Chow berkata, Nizar Jamaluddin memikul dua misi yang terpenting buat masa kini, iaitu mengembalikan kuasa kerajaan negeri di Perak, dan meningkatkan sokongan bukan Melayu/bukan Muslim terhadap PAS. Seandainya Nizar berjaya menyempurnakan dua misi ini, maka beliau boleh kembali ke pusat pimpinan untuk diberikan peranan yang lain.

Nizar Jamaluddin, pemimpin PAS yang muncul sebagai Menteri Besar Perak selepas tsunami politik pada 8 Mac 2008. Kerajaan negeri yang diterajui Nizar dirampas oleh UMNO-BN pada Februari 2009, apabila tiga orang wakil rakyat dari PKR dan DAP berpaling tadah. Pimpinan Nizar meraih simpati ramai, melonjakkan populariti dirinya terutamanya dalam kalangan komuniti Cina, lantaran daripada kejadian tersebut. Beliau terpilih sebagai AJK Pusat PAS dengan undi tertinggi dalam pemilihan parti pada tahun 2009.

Hu Phang Chow (gambar kanan) menganggap perwakilan PAS amat jelas dengan senario yang terkini. Mereka meletakkan empat orang tokoh yang paling merunsingkan UMNO, untuk berdepan dengan PRU 13 yang akan datang. Malah, beliau menyanggah pandangan bahawa Nizar kalah kerana penampilannya yang dianggap lebih "mesra-bukan melayu/muslim".

"Seandainya pandangan ini berasas, maka Mat Sabu akan kecundang sebermulanya," kata Hu Phang Chow yang menegaskan bahawa perwakilan PAS tidak membuat keputusan atas pertimbangan perkauman, tetapi pertimbangan mengikut keperluan senario.

Dzulkefly: Bukan sekadar populariti

Ketika diminta untuk mengulas kekalahan Nizar, Dzulkefly Ahmad berkata, "Pada saya the best man win (orang yang terbaik menang). Beliau (Nizar) mungkin belum dalam liga itu, walaupun sudah masuk dalam liga itu, beliau perlu membuktikan..."

Wartawan mencelah dengan soalan sama ada Nizar kalah kerana senioritinya yang belum cukup melayakkan dirinya ke jawatan ketiga itu, Dzulkefly (gambar kiri) berkata, "Bukan senioriti. Saya ingat delegates (perwakilan) bijak, yang cukup alert untuk membuat perhitungan. Bukan hanya populariti di sini. Popular satu hal, tetapi keupayaan, keupayaan untuk memimpin... Bukan hanya menjadi popular. Ini yang perlu difahami oleh pihak yang lain."

Beliau meneruskan, "Kerana PAS mempunyai pengalaman hampir 60 tahun. Dan perwakilan cukup wajar dan bijak membuat perhitungan mereka. Dan kita kena ingat bahawa di sana ada enam (calon)..."

Dzulkefly Ahmad yang juga terpilih sebagai AJK Pusat diingatkan bahawa Nizar memperolehi undi terendah, dan dijawabnya, "Itu kedudukan yang dia kena terimalah. Dia masih mempunyai masa dan waktu untuk memperbaiki prestasinya. Dan ini cara PAS untuk menilai pemimpin..."

Nizar: Ketiga-tiga pemenang calon terbaik

Sementara itu, ketika diminta untuk mengulas kekalahan dirinya, Nizar berkata, "Itu keputusan perwakilan, mereka membuat pilihan yang tepat. Saya menganggap diri saya hanya satu komponen daripada itu, itu bukan soal menang atau kalah, tapi persoalan siapa boleh menawarkan pilihan yang paling baik untuk kita Putrajaya."

Sambil menyifatkan saf pimpinan baru sebagai "pilihan yang paling sempurna" (the most perfect choice) untuk berdepan dengan pilihan raya umum, Nizar dengan rendah hati berkata dirinya bukan sesiapa (I am nobody) apabila pertimbangan tersebut (berdepan dengan PRU) diambil kira. Beliau mendakwa dirinya tidak kecewa, sebaliknya gembira dengan keputusan itu, kerana "ketiga-tiga pemenang jawatan tersebut adalah yang terbaik".

Dzulkefly Ahmad juga menambah bahawa keputusan pemilihan ini secara keseluruhannya memperlihatkan bahawa perwakilan memilih pimpinan berdasarkan prestasi, dan ini keistimewaan PAS yang tidak mengambil pendekatan berkempen seperti parti politik lain.

"Dan kita dari segi itu adalah lain dari pihak-pihak yang lain, dan parti-parti yang lain. Jadi dengan pimpinan dan pasukan pimpinan saf ini, kita harap dapat melonjakkan lagi prestasi PAS dalam pilihan raya yang akan datang dan ini menyuntik keyakinan bahawa inilah dia saf pimpinan yang dimahukan parti dan juga pendukung, pemerhati supaya PAS menampilkan kekuatan gandingan ini. Inilah sebenarnya kekayaan dan takungan pimpinan... Kita cukup kaya dengan takungan pimpinan kita..."

Hu Phang Chow ketika merumuskan pandangannya terhadap keputusan pemilihan ini berkata, ia merupakan gelombang reformasi kedua dalam PAS. Gelombang pertama, menurutnya adalah kemasukan bukan muslim ke dalam PAS, dan diinstitusikan sebagai badan dalam arus perdana politik PAS. Gelombang kedua kali ini meletakkan pemimpin yang profesional dan terbuka pada kedudukan penting, dan PAS kini menuju ke arah pimpinan yang merangkumi kepelbagaian dalam agama, budaya, ekonomi dan sebagainya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...