Bunga Api


Thursday, June 16, 2011

Ratusan laporan polis, Bersih kedua berdepan cabaran getir

Parti pemerintah dan kumpulan-kumpulan bukan kerajaan yang propemerintah semakin meningkatkan tekanan terhadap gerakan Bersih kedua dikenali Bersih 2.0, yang diharapkan untuk meningkatkan momentum anti-BN menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.

Menurut laporan akhbar pemerintah, lebih 350 laporan polis sudah dibuat oleh pelbagai pihak yang menentang perhimpunan dijadual pada 9 Julai itu nanti.

Ahli Parlimen Zulkifli Noordin merupakan ahli politik paling lantang menentang perhimpunan itu, mengaitkannya dengan gerakan yang dikatakan anti-Islam.

Menurut Zulkifli, orang Melayu-Muslim bakal dipergunakan dalam perhimpunan itu oleh pihak yang mempunyai agenda yang berbeza.

Pertubuhan Melayu berhaluan kanan, Perkasa diketuai Datuk Ibrahim Ali juga kuat menentang perhimpunan Bersih 2.0 itu, sambil menyatakan kesediaan menggerakkan ratusan ribu orang untuk berhimpun menentang perhimpunan pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan itu.

Ahli politik Umno turut menyatakan tentangan terhadap demonstrasi yang dirancang pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan terbabit, dengan mengaitkannya dengan usaha pemimpin-pemimpin pembangkang membina semula populariti.

Pemerintah dilihat bimbang dengan kesan yang boleh dibawa oleh perhimpunan Bersih kedua nanti, yang berpotensi mengulangi persembahan cemerlang pembangkang dalam pilihan raya umum tahun 2008.

Pilihan raya umum yang lalu menyaksikan pembangkang yang kemudian bersatu sebagai Pakatan Rakyat memenangi lima negeri, menjatuhkan pemerintahan BN di empat negeri dan mengekalkan kuasa di Kelantan yang dikuasai PAS selama dua dekad.

Pembangkang, sejak awal tahun ini cuba membina sentimen rakyat antaranya dengan mengaitkan kebangkitan di Afrika Utara dan Asia Barat yang telah menjatuhkan dua pemimpin diktator dengan potensi di negara ini.

Media dikuasai pemerintah memberi tumpuan laporan dan komentar pada kesan negatif yang dikatakan akan terhasil akibat perhimpunan Bersih kedua.

Peniaga dan pemandu teksi dikatakan bakal mengalami kerugian jutaan ringgit sekiranya perhimpunan besar-besaran yang dirancang itu berjalan.

Dalam perhimpunan pertama Bersih pada 2007, lebih 100,000 orang membanjiri ibu negara dari seluruh negara, sebahagian besarnya berbaju kuning, warna rasmi pergerakan itu.

PR berhasrat mengulangi skala perhimpunan lima tahun lalu, dengan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menjadi penggerak utama perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...