Bunga Api


Thursday, June 16, 2011

Isu Lynas Panas Di Parlimen, Mukhriz MITI Mahu Rakyat 'Menerima Kenyataan', Fuziah Pula Dedah Wujudnya Amalan Songsang Terhadap Projek Itu!

Kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Mukhriz Mahathir (foto) yang menyatakan semua pihak tidak perlu terus berdebat mengenai isu pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi oleh Lynas Corporation sehingga panel pakar selesai mengkaji aspek keselamatan bagi projek itu, akhir bulan ini amatlah tidak wajar sama sekali. Mukhriz menyifatkan tidak perlu lagi untuk membincangkan isu tersebut secara panjang lebar kerana mereka “bukannya pakar". “Sebab itu kita panggil pakar yang dilantik Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) supaya kerajaan boleh membuat keputusan yang tepat (berhubung projek berkenaan). Apapun nasihat yang diberikan oleh IAEA ini akan kita terima. Sekiranya projek ini benar-benar membahayakan rakyat sudah tentu kita yang ke hadapan sekali untuk membatalkan projek ini. “Sekiranya IAEA menyatakan secara jelas dan terang bahawa projek ini tidak langsung menjejaskan kesihatan, maka saya rasa setiap seorang daripada kita terpaksa menerima kenyataan ini dan melakukan yang sebaiknya,” kata Mukriz dalam satu kenyataannya di parlimen semalam. Mukhriz yang menggulung perbahasan Rang Undang-undang Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (Pemerbadanan) (Pindaan) 2011 sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan tidak akan membuat sebarang keputusan mengenai projek itu sehingga laporan kajian keselamatan tersebut diperoleh. Alasannya IAEA telah melantik sepasukan lapan pakar yang diketuai Pengarah Bahagian Teknologi Sisa dan Kitaran Bahan Api Nuklear di Jabatan Tenaga Nuklear IAEA, Dr Tero Varjoranta dari Finland untuk menjalankan kajian semula aspek keselamatan dan kesihatan loji pemprosesan loji Lynas yang melawat tapak itu mulai 29 Mei hingga 3 Jun lalu. Laporan tersebut akan diserahkan kepada kerajaan pada 30 Jun 2011 ini.

Fuziah Tegaskan 'Amalan Songsang' Projek Lynas

Isu Lynas mendominasi sesi perbahasan rang undang-undang itu sehingga menjurus berlakunya perang mulut antara penyokong kerajaan dan pembangkang. Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) ketika membahaskan isu itu mendakwa proses membuat keputusan berhubung projek itu “songsang” kerana lesen untuk pembinaan loji tersebut dikeluarkan sebelum konsultasi awam dilakukan dengan para penduduk kawasan berkenaan. “Kilang sudah hampir siap, selepas kita buat tekanan begini, baru hendak panggil panel, hendak bincang dengan masyarakat awam. Seharusnya ditanya dari awal lagi...ini yang saya kata cara membuat keputusan ini songsang,” katanya. Beliau juga bertalu-talu membantah projek loji itu yang dikhuatiri akan menghasilkan radiasi yang boleh memudaratkan kesihatan awam selain penilaian impak alam sekitar bagi projek bernilai RM700 juta itu yang disifatkan boleh dipertikaikan. Ekoran itu beberapa kali berlaku perang mulut antara Fuziah dan Datuk Abdul Rahman Dahalan (BN-Kota Belud) termasuk ketika Ahli Parlimen pembangkang itu mempertikaikan kredibiliti pakar yang dilantik IAEA kerana mendakwa panel tersebut tidak mengandungi pakar kesihatan awam. “Inilah dia, semua orang dia tidak percaya, sampai besipun dia tidak percaya, dia mahu percaya apa dia cakap sahaja,” kata Abdul Rahman yang menyebabkan Fuziah bangkit membantah dan meminta beliau agar menarik balik segala kenyataannya.

[Kenyataan Mukhriz anak Mahathir itu jelas sekali bakal mengesahkan yang IAEA akan membuat kenyataan berpihak kepada Lynas sebenarnya. Beliau harus sedar, dalam apa jua keadaan sekali pun rakyat Kuantan dan Malaysia tetap menolak projek yang berisiko seperti ini. Beliau harus sedar akan tanggungjawab untuk membela nasib rakyat, bukannya mempertahankan kelompok yang akan menikmati hasil apabila projek itu beroperasi kelak. Malah, rakyat Kuantan sebenarnya sejak dari awal lagi tidak yakin dengan keputusan kajian yang akan dibuat oleh pakar-pakar dari IAEA itu. Tambahan pula dengan pendedahan yang adik MB Pahang sendiri pernah terlibat sebagai orang kuat IAEA ketika awal-awal kemasukan projek tersebut ke negeri ini. Malah, pakar-pakar itu sendiri dibayar kos kehadiran mereka ke negara ini oleh Lynas dan sudah semestinya mereka tidak akan menbuat satu keputusan yang membelakangkan pihak yang membiayaai mereka. Malah, ketiadaan pakar dalam bidang kesihatan dan yang berkaitan juga amat tidak adil sebenarnya. Mana mungkin pakar-pakar IAEA yang hanya hanya pakar dalam bidang itu boleh mengeluarkan pandangan yang mempertikaikan satu projek jutaan ringgit yang telah mendapat khidmat nasihat daripada IAEA itu sendiri. Makanya rakyat kini sedang dipermainkan dengan satu "silap mata" oleh pihak yang mempunyai kepentingan dalam projek Lynas itu sebenarnya. Jalan terbaik ialah mereka terus bantah dan tolak Lynas. Save Malaysia Stop Lynas!].

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...