Bunga Api


Wednesday, June 22, 2011

Coretan Mat Sabu.


(*) Saya kebetulan membesar dalam perjuangan, menyertai PAS pada 1978 dan tahun 1979 berlaku revolusi Islam Iran. Perkembangan dan kebangkitan di sana menjadi tumpuan ramai. Kemudian kemunculan gerakan Islam seperti Hizbullah, yang juga dipimpin seorang ulama yang memakai serban.


Kita ambil contoh Imam Khomeini. Macam mana seorang ulama yang menggerakkan rakyat sehingga boleh buat revolusi. Isu apa yang dipakai? Mereka tidak sebut pertentangan kelas. Tetapi beliau mengemukakan isu Mustakbirin dan Mustad'afin, iaitu yang menindas dan yang kena tindas, 'oppressed and oppressors'.


Bagaimana Khomeini berjaya meletakkan semua golongan dibawahnya. Sama ada sosialis, komunis, liberal dan sebagainya berketuakan dia. Yang ini kita perlu belajar, bukan soal mazhabnya.


Saya juga menghormati, bahkan dalam ucapan-ucapan saya tidak lekang menyebut Imam Hassan Al-Banna. Dia seorang guru agama biasa tetapi dia berdakwah dan berjaya masuk sampai ke bar dan kelab malam. Bagaimana dia boleh memimpin semua peringkat, sehingga intelektual universiti, profesor juga ada di bawah naungannya. Pemimpin macam ini saya amat hormat.


Begitu juga dengan Hizbullah. Di Beirut, yang digelar 'Paris of the East', tempat tarian gelek, tarian separuh bogel, minum arak, pakai bikini, tiba-tiba di tengah kota ini muncul satu badan yang begitu disiplin dan begitu menitikberatkan hal kebajikan. Serta boleh mengumpul anak muda dan bagaimana mereka dilatih sehingga sanggup korbankan nyawa harta benda untuk melawan dengan Israel.


Kemudian, dari sudut politik, mereka boleh menarik golongan kristian Michael Aoun yang bersenjata dan kumpulan sekular yang lain berada di bawah naungan Hizbullah. Ini taktik dan strategi politik. Inilah yang saya kagum dan mahu belajar daripada mereka.


Begitu juga Sheikh Ahmad Yasin yang berjuang daripada muda sehinggalah beliau berkerusi roda terus berjihad. Sesetengah kita bila masuk umur tua sedikit cepat-cepat menyerahkan kepada orang muda, "biar kami tua-tua ni duduk di belakang". Tetapi Sheikh Ahmad Yasin ini menyemarakkan semangat jihad sehingga melahirkan Hamas.


Jadi contoh-contoh inilah yang saya kagum. Kadang-kadang saya tidak tahu pun latar belakang soal anutan mazhab mereka, tetapi saya melihat dari sudut ilmu bagaimana mereka mengorak langkah dan memimpin. Dan dalam dunia moden ini, bagaimana ulama ini boleh diterima umum.


Kita ambil contoh macam Hassan Nasrullah. Penyanyi, ahli sukan, artis, semuanya boleh menerimanya. Kita kena lihat di mana kekuatan mereka. Begitu juga dengan dunia intelektual. Saya minat pandangan Dr Kalim Siddiqui, ahli sains sosial daripada England yang meninggal dunia di Afrika Selatan.


Saya mengingati juga Dr Ali Shariati tanpa mengetahui apa mazhab dia. Beliau membuat kupasan yang menarik terhadap sejarah, haji, firaun, kerajaan Mongul yang jatuh di India. Saya minat membaca pemikiran seperti ini. Begitulah juga dengan Dr Fathi Yakan yang membicarakan langkah awal perjuangan Islam.


Bagi saya bukan melihat pemahaman, anutan dan sebagainya. Dan kadang-kadang saya tidak tahu apa pegangan dan anutan mereka tetapi saya melihat dari sudut kepimpinan.


Begitu juga di tengah-tengah kelemahan orang Islam yang tidak yakin langsung tentang nilai jati diri sehingga orang berkata "macam mana hendak merdeka, orang Melayu, jarum pun tidak boleh buat, sedangkan British ada kapal perang".


Di sini pula muncul Jamaluddin Afghani yang memberi nafas baru kepada orang Islam untuk yakin kepada kekuatan diri menuntut kemerdekaan: "Kamu boleh mencapai kemerdekaan sendiri, kalau bersedia untuk berjuang".


Inilah sikap saya dalam hal merujuk kepada pejuang-pejuang, yang tidak langsung melihatnya dari sudut latar belakang mazhab mereka. - ABANG MAT SABU

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...