Bunga Api


Wednesday, December 2, 2009

Wacana Menarik Antara Pendekatan AKP Turki dan Ikhwan Muslimin


Oleh: abuamirah

"Tajuk Asal : Isu Turki dan Penjelasan Beberapa Kefahaman

Tidak syak lagi kemenangan sebuah parti yang dikatakan berideologi dan mempunyai hala tuju Islami sebagaimana yang berlaku di Turki, memberikan sedikit rasa gembira ke dalam hati setiap muslim yang prihatin terhadap agamanya dan bercita-cita mahu agar agama Islam ditegakkan di atas muka bumi ini. Bahkan kita merasa gembira dengan setiap usaha sama ada kecil atau besar yang dilakukan oleh mana-mana kumpulan atau individu demi kepentingan Islam.

Ini bukanlah suatu yang ganjil bagi orang Islam semenjak generasi pertama dahulu lagi, bahkan ia pernah berlaku ketika hayat Rasulullah saw lagi. Kisah bagaimana orang-orang Islam merasa gembira dengan kemenangan orang Rom yang merupakan ahlil kitab terhadap Parsi yang beragama Majusi telah dijelaskan di dalam al-Quran. Tiada seorang pun yang mengecam perasaan ini. Firman Allah dalam surah al-Rum, ayat 2-5):

Maksudnya: “Orang-orang Rom telah dikalahkan. Di negeri yang dekat sekali; dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan lawannya. Dalam masa tidak sampai sepuluh tahun. Kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira. Dengan kemenangan yang diberi Allah. Ia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.”

Oleh itu, adalah tidak munasabah jika orang-orang Islam hari ini tidak merasa gembira dengan kemenangan yang diperoleh oleh Partai Keadilan dan Pembangunan (AKP) dengan mengalahkan pihak sekular yang memerintah Turki semenjak kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah sehingga hari ini, yang memisahkan agama daripada negara. Mereka tidak hanya memisahkan Islam daripada pemerintahan sahaja, bahkan mereka memerangi segala fenomenanya, bermula daripada kopiah dan hijab wanita muslimah, berakhir dengan mereka menghapuskan bahasa Arab, iaitu bahasa al-Quran, bahkan mereka merasa sebati dengan perancangan dan projek Eropah sama ada dari sudut fizikal dan spiritual.

Sesungguhnya kegembiraan yang kita akui dan kongsikan bersama mereka merupakan perkara yang berkaitan dengan perasaan hati, yang tidak ditegah oleh syarak kita yang mulia. Tetapi saya perlu menjelaskan beberapa perkara yang berkaitan dengan matlamat, objektif dan manhaj taghyir (perubahan), agar segalanya menjadi jelas. Perkara ini perlu ditegaskan agar konsep sebenar manhaj tersebut menjadi jelas dan terang kepada kita agar pendirian kita tetap utuh berpegang dengannya. Mungkin setelah melihat kemenangan ini, ada di antara kita merasa bahawa jalan yang kita lalui adalah panjang, matlamat yang ingin dicapai terlalu jauh dan tidak mungkin dicapai, bahkan mustahil untuk mencapainya melalui manhaj yang kita imani ini dan kita telah laksanakannya sejak sekian lama, pada pandangan mereka.

Adalah suatu yang silap jika kita membuat perbandingan antara mereka yang sampai kepada tampuk pemerintahan tanpa melakukan perubahan Islam yang sejati dan hakiki di dalam masyarakat sama ada pada peringkat individu, keluarga dan masyarakat, dengan mereka yang melakukan perubahan Islam dan berusaha menegakkan agama sebagaimana dijelaskan oleh al-Quran, dalam surah al-Shura ayat 13:

Maksudnya: “Allah telah menerangkan kepada kamu di antara perkara-perkara agama yang Ia tetapkan hukumnya, apa yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh, dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: “Tegakkanlah pendirian agama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya.”

Juga sebagaimana kata-kata Murshid kita yang lalu:

Maksudnya: “Tegakkanlah negara Islam di dalam hati kamu, nescaya ia akan tegak di di atas bumi kamu.”

Terdapat perbezaan yang besar antara sampai kepada pemerintahan dengan menegakkan Islam di atas muka bumi.

Apa yang berlaku di Turki sepatutnya jelas kepada kita, agar matlamat akhir tidak bercampur aduk dengan wasilah, dan matlamat jauh dengan matlamat dekat, dan sepatutnya tidak ada di antara kita yang berkata, “Alangkah baiknya jika kita turut mengikut jalan mereka agar kita boleh merealisasikan apa yang telah mereka realisasikan!”

Saya ingin tegaskan di sini bahawa apa yang berlaku di Turki hanya sampai kepada tampuk pemerintahan dan kekuasaan. Itulah yang mereka usahakan menggunakan segala sarana yang boleh. Mereka tidak menafikan bahawa itulah wasilah yang mereka harapkan dan mereka berusaha dengan menggunakan segala sarana yang dibenarkan. Demi kerana itulah mereka berusaha untuk ‘mengumpulkan’ (tajammu’) manusia bukan demi kerana ‘jamaah’ yang mempunyai hala tuju, manhaj, objektif, wasilah, matlamat, perancangan dan manhaj nabawi dalam melakukan perubahan.

Perkara yang hampir sama juga pernah berlaku kepada Dr Hasan al-Turabi di Sudan, meskipun sarana yang digunakan berbeza. Di Turki, ia berlaku menggunakan sarana demokrasi, manakala di Sudan, ia berlaku melalui rampasan kuasa yang sama sekali ditolak secara total oleh Ikhwan Muslimin. Namun matlamat al-Turabi juga ialah mahu sampai kepada kekuasaan dan pemerintahan. Manakala manhaj Ikhwan jelas berbeza dengan kedua-duanya. Masing-masing mempunyai tabiat dan suasananya yang tersendiri, tetapi perlu diingat bahawa manhaj taghyir (perubahan) hendaklah bersifat tetap. Firman Allah swt dalam surah al-Ra’d ayat 11:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”

Beberapa analisis berkenaan pengalaman Turki mengatakan : Pengalaman yang dilalui oleh Partai Keadilan dan Pembangunan di Turki merupakan salah satu pengalaman politik Islam moden dan semasa dalam sejarah bangsa Arab dan umat Islam. Tetapi pengalaman ini tidak boleh dilaksanakan oleh Ikhwan Muslimin di Mesir kerana beberapa sebab. Antara yang terpenting ialah:

Pertama:

Erdogan berjanji untuk memberikan komitmen kepada kaedah dan prosedur praktik politik Turki dan juga perlembagaan negara. Toleransi politik yang diamalkan menyebabkan beliau mengisytiharkan secara terang terangan bahawa beliau bukan sahaja berpegang teguh dengan ciri sekular dari sudut rujukan politiknya, namun beliau juga berjanji untuk memberikan komitmen penuh dengan identiti sekular negara Turki. Sehinggakan beliau hanya mendiamkan diri terhadap kekecohan yang ditimbulkan oleh golongan sekular dengan sebab tudung yang dipakai oleh isteri Menteri Luar Turki, Abdullah Gul ketika dicalonkan sebagai Presiden, yang salah seorang daripada mereka mengatakan, “Tidak mungkin wanita pertama di Turki seorang yang bertudung,” dan mereka juga berkata, “Jika isteri Abdullah Gul, Puan Khayr seorang wanita bertudung, memasuki istana Presiden Turki yang diasaskan oleh bapa sekularisme, Ataturk, maka ia adalah satu perlanggaran serius terhadap seluruh nilai sekular Turki, sebagaimana ia turut bercanggah dengan perlembagaan negara!”

Bahkan lebih parah lagi, Erdogan sendiri tidak mampu menyempurnakan pendidikan anak perempuannya di Turki dengan sebab larangan memakai tudung yang diamalkan oleh universiti-universiti Turki, lalu beliau menghantar anaknya itu ke Amerika untuk meneruskan pengajiannya.

Inilah sekularisme yang dikatakan oleh Erdogan bahawa “kami tidak akan melencong daripadanya dan kami tidak akan mengubah sesuatu pun daripadanya, bahkan kami datang hanya untuk mempertahankannya.” Inilah pilihan yang ada bagi Partai Keadilan dan Pembangunan. Pilihan ini tidak mungkin diperjuangkan oleh Ikhwan Muslimin di Mesir dalam mana-mana bentuk sekalipun. Memang Ikhwan Muslimin memberikan komitmen terhadap perlembagaan negara Mesir tetapi kerana ia menyebut bahawa agama rasmi negara ialah Islam dan Syariat Islam adalah sumber utama perundangan negara, tetapi mereka tidak mungkin menerima sepenuhnya kaedah permainan politik yang ditetapkan oleh pihak pemerintah yang telah memerintah sejak lima dekad lalu, sama ada pada peringkat prinsip yang menentukan hala tuju atau praktik politik dengan menerima segala institusi kulit yang tidak berfungsi, kebejatan politik, ekonomi, pentadbiran dan sosial. Jika ini dilakukan, maka segala program dan objektif Ikhwan akan kehilangan kredibilitinya, dan jika ini berlaku Ikhwan akan kehilangan elemen kekuatannya yang terpenting iaitu dokongan massa dan sokongan rakyat sama ada di Mesir, di negara-negara Arab dan negara-negara Islam lain yang selama ini menerima dan menyokong mereka kerana agenda tersebut.

Kedua:

Sesungguhnya aliran reformasi (islah) iaitu aliran Ikhwan dengan agendanya ini bertujuan untuk menghidupkan kembali kenangan umat Islam yang lalu, mengembalikan semula tamadun hebatnya yang lepas dan mengembalikan semula kepimpinannya pada peringkat dunia dalam setiap bidang. Tetapi perkara ini tidak menjadi manifesto yang dilaung-laungkan oleh Erdogan. Alirannya hanya bertindak dalam batasannya sahaja. Tiada agenda Islam yang bersifat universal itu yang diperjuangkan. Ini menjadikan pihak Barat iaitu Amerika dan Eropah, bahkan Zionis antarabangsa tidak merasa bimbang dan terancam. Sebaliknya, aliran Ikhwan yang mempunyai agenda yang melampaui batasan sempadannya, merupakan ancaman terhadap program Amerika dan Zionis antarabangsa. Ini kerana agenda dan program yang diserukan oleh Ikhwan itu bersifat bersepadu dan merangkumi dunia Islam keseluruhannya. Salah satu objektif utama mereka ialah mengembalikan semula Khilafah Islam. Mereka juga tidak bersedia untuk mengubah prinsip ini kerana ia adalah prinsip yang tetap bagi mereka.

Ketiga:

Ikhwan mempunyai beberapa thawabit (perkara tetap yang tidak akan berubah). Ikhwan tidak akan melencong daripadanya dan mengubahnya, seperti isu pengiktirafan Israel, isu Baitul Maqdis dan lain-lain isu penting. Pendirian ini tidak sama dengan toleransi politik yang diamalkan oleh Partai Keadilan dan Pembangunan. Turki masih menjadi anggota kepada Pertubuhan Atlantik Utara (NATO) yang terus membunuh umat Islam di Afghanistan dan melakukan tipu daya terhadap negara-negara Islam hingga hari ini. Turki juga masih menjaga hubungannya dengan regim Zionis dan Amerika Syarikat. Erdogan sendiri mengumumkan bahawa dia menjaga dan memelihara hubungan tersebut.

Inilah perbezaan yang menjadikan pihak Barat boleh menerima kehadiran Partai Keadilan dan Pembangunan tetapi mereka menolak HAMAS di Palestin, bahkan apabila Ikhwan memenangi beberapa kerusi sahaja di dalam parlimen, mereka terus mengisytiharkan perang terhadap Ikhwan. Apa yang mungkin akan berlaku jika Ikhwan berjaya memerintah, walaupun sebenarnya mereka tidaklah berkeinginan untuk memerintah? Sudah pasti pihak Barat akan memperlihatkan permusuhan secara nyata dan mereka yang mempunyai perancangan barat Zionis akan berusaha untuk menggagalkan pengalaman Ikhwan itu di dalam pemerintahan jika ia berlaku.

Masyarakat yang dikehendaki Islam ialah:

1. Masyarakat rabbani yang segala cirinya bersumberkan perintah, arahan dan hukum Allah.
2. Masyarakat yang sentiasa mengadap kepada Allah dalam segala perasaan, kesedaran dan amalannya.
3. Masyarakat yang akidah menjadi asasnya, syiar Islam menjadi lambangnya, akhlak menjadi jaminannya dan syariat menjadi penterjemah amalan dan tindakannya.
4. Segala kewajipan di dalam masyarakat ini adalah dituntut, manakala segala larangan hendaklah ditinggalkan. Antara keduanya terdapat perkara sunat, makruh dan harus.

Sila perhatikan pendirian Rub‘i bin ‘Amir ketika berhadapan dengan panglima tentera Parsi. Rub‘i berkata:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengutuskan kami agar kami mengeluarkan sesiapa yang Dia kehendaki daripada perhambaan sesama hamba kepada perhambaan kepada Allah, dan daripada kezaliman para pemerintah kepada keadilan Islam, dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.”

Alangkah tegas dan jelas pendirian yang tergambar daripada kata-kata ini!

Dengarkanlah juga kata-kata Hasan al-Banna yang menjelaskan perkara tersebut dengan katanya:

Maksudnya: “Kita mahukan individu muslim, rumahtangga Islam dan bangsa Muslim. Tetapi sebelum itu kita mahu agar fikrah Islam menguasai sehingga memberikan kesan terhadap seluruh hal ehwal kita. Kita juga mahu agar seluruh kehidupan kita dicelup dengan celupan Islam. Tanpa yang demikian, kita tidak akan sampai ke mana-mana.”

Kita mahu berfikir secara bebas tetapi berdasarkan kepada asas Islam yang mulia, bukan berdasarkan pemikiran tradisional yang menjadikan kita terikat kepada teori-teori barat dan hala tuju mereka dalam segala perkara. Kita mahu agar kita mempunyai perbezaan dan keistimewaan dengan ciri-ciri keperibadian tersendiri dalam kehidupan sebagai umat yang agung dan mulia, yang memiliki bukti dan fenomena kebanggaan dan keagungan paling lama dan paling baik sepanjang sejarah kemanusiaan.

Bermula Daripada Naungan Keimanan

Permulaan daripada naungan keimanan akan menyuburkan keperibadian yang mempunyai kebebasan daripada sifat ‘pak turut’ dan ‘buih’. Ia berlaku melalui proses tarbiah yang menghasilkan model yang unik, mempunyai pelbagai kemampuan dan kefahaman. Dengannya, seseorang muslim menjadi seorang yang unik, berbeza daripada orang lain. Kepelbagaian dan kebebasan ini adalah asas bagi tertegaknya sebuah masyarakat yang tidak dipengaruhi oleh pengikutan yang membuta tuli dan pembebasan yang mematikan, tetapi tersepadu padanya segala elemen inovasi dan ciri-ciri kepelbagaian. Lalu ia menjadi seperti sebuah papan yang mempunyai pelbagai warna yang sepadan dan gambaran yang sempurna.

Ini semua adalah hasil daripada proses tarbiah dan perancangan berjangka panjang, memerlukan nafas yang panjang, kesabaran yang utuh, kerja yang berterusan, hati yang tetap teguh, bahkan pemaksaan, bagi membentuk suatu contoh bentuk kehidupan yang menegaskan nilai-nilai tinggi Islam dan prinsip-prinsipnya yang istimewa. Dengannya, seseorang muslim melalui kehidupan ini tanpa mengalami masalah, krisis dan membuat perbandingan yang silap, bahkan tiada pemisahan keperibadian, sentiasa sedar terhadap cabaran yang akan dihadapi, yakin terhadap manhaj serta berusaha melaksanakannya, menjadikan seluruh umat merasa wajib untuk beramal, yakin dengan kemampuannya untuk memberikan pengaruh yang positif, berbangga dengan identiti Islamnya dan yakin dengan pertolongan Allah terhadapnya.

Matlamat Islam

Islam mempunyai dua matlamat penting yang mesti kita memahami dan menyedarinya dengan baik:

Pertama:

Menegakkan satu umat yang baik (salih) dan melakukan pembaikan (muslih). Umat seumpama ini tidak akan wujud melainkan apabila dipenuhi syarat-syarat yang asasi, antaranya:

1. Mempunyai risalah dalam kehidupan dan berjuang demi kerananya
2. Bersatu dan saling berkasih sayang.
3. Berkorban dan sentiasa sedia untuk berkorban.

Kedua:

Hendaklah mengepalai umat ini sebuah kerajaan Islam awam, bersifat baik (salih) dan sentiasa melakukan pembaikan (muslih), menjadi khadam kepada rakyat, tertegak di atas dasar syura, menegakkan keadilan, merealisasikan kebebasan bagi semua individu rakyatnya, bukan kerajaan yang zalim dan autokratik.

Untuk mencapai matlamat-matlamat di atas, ia menuntut suatu kekuatan kehendak dalaman yang kuat dan keazaman yang tinggi untuk meneruskan perjalanan. Kerana jalan yang dilalui dipenuhi dengan pelbagai halangan dan rintangan. Oleh itu, Hasan al-Banna berkata kepada golongan yang gopoh :

Maksudnya: “Wahai Ikhwan Muslimin! Dengarkanlah perkataan ini daripadaku. Suatu perkataan yang tinggi dan mulia. Perkataan yang datangnya daripada mimbar ini. Di dalam muktamar anda yang besar ini. Sesungguhnya jalan anda ini telah digariskan segala langkah-langkahnya, telah ditetapkan batas sempadannya. Saya tidak akan menyalahi batas sempadan ini yang telah saya yakini bahawa ia adalah jalan paling selamat untuk sampai ke destinasi. Ya, mungkin jalan ini jauh dan panjang, tetapi tidak ada jalan lain. Sesiapa yang mahu memetik buah (hasil) sebelum ia masak, atau memetik bunga sebelum waktunya, maka saya tidak akan bersamanya. Lebih baik baginya untuk beredar daripada dakwah ini kepada yang lain.”

Beliau juga pernah berkata kepada golongan yang mendahulukan perasaan daripada akal mereka :

Maksudnya: “Kekangi keliaran perasaan anda dengan pandangan akal. Terangilah pancaran akal dengan gejolak perasaan. Iringi khayalan dengan kebenaran hakikat dan realiti. Bongkari hakikat menerusi cahaya khayalan yang indah dan bersinar terang. Janganlah anda terlalu cenderung kepada sesuatu lalu anda meninggalkannya dalam keadaan tergantung. Janganlah anda bertembung dengan undang-undang alam kerana ia pasti akan menang. Tetapi jinakkanlah ia, pergunakanlah ia dan alihkan alirannya serta ambillah bantuan daripada sebahagiannya bagi menghadapi sebahagian yang lain. Tunggulah saat kemenangan kerana ia tidak jauh daripada anda.”

Beliau juga berkata kepada golongan yang menyukat sesuatu berdasarkan hasil dan gambaran zahirnya sahaja:

Maksudnya: “Sesungguhnya anda ingin memperoleh keredhaan Allah dan mendapat balasan pahala dan rahmatNya. Anda dijamin memperolehinya selagi mana anda ikhlas. Allah tidak memerintahkan agar anda mencapai hasil amal yang anda lakukan, tetapi anda dituntut untuk ikhlas dengan benar-benar meniatkan apa yang anda lakukan demi kerana Allah semata-mata dan melakukan persediaan sebaik-baiknya. Selepas itu, kita mungkin adalah golongan yang tersilap, namun kita tetap memperoleh pahala orang yang beramal dan berusaha. Atau mungkin kita betul, lalu kita mendapat pahala orang yang menang dan betul. Tetapi pengalaman lalu dan kini membuktikan bahawa tidak ada kebaikan melainkan melalui jalan anda ini. Tidak akan ada hasil melainkan dengan perancangan anda ini. Tidak betul melainkan pada apa yang anda kerjakan. Oleh itu, janganlah anda memperjudikan usaha-usaha anda. Jangan perjudikan syiar kejayaan anda. Dan bekerjalah “kerana Allah bersama-sama dengan anda dan Dia sekali-kali tidak akan mengurangkan balasan pahala anda” (Surah Muhammad ayat 35). Kemenangan adalah bagi orang-orang yang bekerja dan berusaha, “Dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya kepada orang-orang (yang beriman) (Surah al-Baqarah ayat 143).

Kesimpulan

Sesungguhnya kita mempunyai projek Islam yang menyeru kepada pembentukan umat, pentarbiahan bangsa dan perealisasian cita-cita. Ini semua menuntut suatu jiwa yang besar dan agung yang tergambar melalui kehendak yang kuat, kesetiaan yang tidak berbelah bagi, pengorbanan yang tinggi, pengetahuan tentang prinsip dan keyakinan tinggi terhadapnya, kerana ia adalah projek bangsa muslim yang terbakar hatinya kerana rindu dan penuh berharap untuk hidup dengan Islam dan kerana Islam, agar ia mempunyai kedudukan yang tinggi di kalangan manusia di dunia, serta bangkit melaksanakan kewajipannya yang telah ditetapkan oleh Allah, tuhan sekalian alam.

Ia adalah projek yang membawa manusia kepada ketaqwaan, petunjuk dan jalan lurus yang merealisasikan bagi umat ini identitinya yang tersendiri, keperibadiannya yang istimewa, kebebasan ekonomi dan kehendak politiknya, sehingga ia tidak lagi cair menurut acuan barat atau timur, dan sehingga ia keluar daripada kelemahan yang sedang dialaminya hasil daripada kemunduran, jumud (kebekuan) dan kerosakan dirinya sendiri daripada satu sudut, dan serangan serta penjajahan pemikiran dan ketenteraan daripada sudut yang lain.

Oleh itu, kita hendaklah menyedari sebaik-baiknya bahawa Islam adalah risalah tarbiah sebelum ia adalah risalah perundangan dan peraturan. Ia adalah risalah akidah dan akhlak, sebelum ia adalah risalah perang dan jihad. Ia adalah risalah nilai dan prinsip, sebelum ia adalah risalah peluasan dan penyebaran. Dari sini, langkah-langkah perubahan dan islah hendaklah ditujukan kepada hati dan jiwa bagi merealisasikan kesatuan hati agar ia menjadi suci dan ikhlas. Ini perlu dilakukan lebih dahulu sebelum memastikan kesatuan saf daripada sudut tanzim, perancangan dan pentadbiran. Menjadi baik hendaklah didahulukan sebelum melakukan pembaikan.

Ya, tidak dapat tidak ruh hendaklah sedar, hati hendaklah hidup, dan perasaan serta emosi hendaklah jaga sebelum perkara-perkara lain. Hasan al-Banna telah memperingatkan tentang hakikat ini dengan katanya:

Maksudnya: “Ketika menilai sesuatu gerakan dakwah, manusia hanya memandang kepada amalan yang zahir dan warna luaran sahaja, sedangkan mereka lupa untuk melihat kepada dorongan-dorongan kejiwaan dan ilham ruhani yang pada hakikatnya adalah sumber utama dan bekalan makanan bagi gerakan dakwah yang hanya dengannya sesuatu gerakan dakwah itu boleh mendapat kemenangan dan berkembang. Ini adalah satu hakikat kebenaran yang tidak dinafikan melainkan oleh orang yang jauh daripada pengkajian gerakan-gerakan dakwah dan jauh daripada mengenali rahsia-rahsianya. Sesungguhnya di sebalik segala fenomena ini dan pada setiap gerakan dakwah pasti ada ruh yang mendorong, kekuatan dalaman yang menggerak dan menguasainya serta menolaknya. Adalah mustahil bagi sesuatu umat untuk bangkit tanpa ada kesedaran yang hakiki ini di dalam jiwa, ruh dan perasaan. Firman Allah dalam surah al-Ra’d ayat 11 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”

Oleh itu, saya mampu mengatakan bahawa perkara pertama yang kita ambil berat dalam dakwah kita ini dan perkara paling penting yang menjadi pergantungan kita di dalam rangka kita mahu menyubur, menzahir dan menyebarkan dakwah kita ini ialah kesedaran tersebut. Perkara ini kita tegaskan sentiasa agar tertanam di dalam pemikiran kita bahawa ia adalah langkah pertama yang seharusnya diambil sebagaimana yang saya sebutkan sebelum ini. Sesiapa yang membuat permulaan yang baik, dia akan mendapat kesudahan yang baik juga.

Sesungguhnya melalui pelaksanaan syariat sehingga Islam menjadi penyelesaian kepada segala masalah, kita mahu memulakan semula kehidupan di atas dasar Islam secara sempurna. Sebuah kehidupan yang diarahkan oleh akidah Islam, dihukum oleh syariatnya, dikawal oleh akhlaknya dan dipimpin oleh nilai-nilai dan adab-adabnya. Sebuah kehidupan yang dicelup dengan nilai-nilai Islam secara menyeluruh. Inilah yang kita mahukan, iaitu kita mahu untuk hidup dengan Islam dan kerana Islam.

Ia bukanlah sebagaimana dikatakan oleh golongan Marxis dan kebendaan: “Ubahlah ekonomi atau ubahlah hubungan-hubungan produktiviti maka sejarah akan berubah.” Tetapi kita berkata: “Ubahlah diri anda nescaya kehidupan dan sejarah akan berubah. Jiwa tidak akan berubah melainkan dengan keimanan dan penyucian agar kita mendapat kejayaan dan kemenangan. Firman Allah dalam surah al-Shams ayat 7-10:

Maksudnya: “Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa. Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya -yang sedia bersih- bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya -yang sedia bersih- itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).”

Inilah manhaj kita sebagaimana kita fahami, yakini dan kita bergerak dengannya. Kita tidak akan terpesong daripadanya, bahkan kita berkata sebagaimana kata-kata Rasulullah saw:

Maksudnya: “Demi Allah, jika mereka meletakkan matahari di sebelah kananku dan bulan di sebelah kiriku supaya aku meninggalkan urusan ini (Islam), nescaya aku tidak akan meninggalkannya, sehinggalah Allah memenangkannya atau aku musnah kerananya.”

Semoga Allah memberikan selawat dan salamNya kepada Nabi Muhammad, kaum keluarga dan para sahabat baginda. Dan segala puji adalah bagi Allah, tuhan sekalian alam.

Sekian.

Ust. Jumaat Amin Abdul Aziz, Ulama Mesir.
Anggota Maktab Irshad, Ikhwan Muslimin


Catatan Abu Amirah - Tulisan ini amat baik untuk kita wacanakan dengan lebih lanjut berkaitan perkara THAWABIT (tetap) dan MUTAGHAYYIRAT (berubah) dalam gerakan islam. Dalam rangka mengatur pergerakan PAS dalam konteks Malaysia hari ini, kita perlukan kejelasan yang sejelas-jelasnya antara dua sudut tersebut dan kaedah-kaedah yang berkaitan dengannya agar kita tidak kesamaran dalam menggerakkan jamaah. Di mana batas kompromi kita dalam soal prinsip dan strategi. Sebagai contoh, sekiranya rakan dalam Pakatan Rakyat (PR) mencadangkan atau mengadakan program berbentuk maksiat, adakah kita tidak boleh menentang? Jika dulu, kita mengadakan demonstrasi ketika adanya konsert yang kita anggap tidak islamik, selepas ini bagaimana? Kiaslah kepada contoh-contoh yang lain. Saya rasa Dewan Ulamak boleh mengambil peranan untuk memperincikan perkara tersebut....."

dari tranungkite

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...