Bunga Api


Thursday, December 3, 2009

Antara Nik Aziz, Najib dan Chin Peng



"
NAJIB Razak sudah membuat ketegasan dia tidak akan menemui bekas Setiausaha PKM, Chin Peng seperti mana yang diharapkan oleh Chin Peng. Chin Peng sangat bercadang untuk berjumpa Najib sewaktu Najib melawat Selatan Thai. Penegasan Najib itu bermakna tertutuplah harapan Chin Peng untuk kembali ke tanah air dan berkubur di hujung kuburan nenek moyangnya di negara ini.


Chin Peng sangat berharap untuk pulang ke Malaysia yang juga tanah airnya sendiri.

Hasrat itu telah lama terpendam dalam diri dan diceritakan kepada umum. Ada pula pihak yang bersimpati dengannya tolong membantu 'kempen' untuk kepulangannya. Kononnya atas dasar kemanusiaan dan memandangkan usia Chin Peng sudah tua, 86 tahun wajarlah kalau beliau dibenarkan pulang.


Sepanjang menjadi PM inilah keputusan pertama Najib yang saya lihat keras dan tegas. Keputusan ini agak berlainan dengan gaya dan pembawaan Najib yang lembut dan kelihatan banyak berdiplomasi. Sebelum ini Najib begitu terbuka dan liberal terutamanya berhubung dengan polisi pentadbirannya. Dia juga kelihatan terikut-ikut permainan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.
Beberapa idea yang dicetuskan Anwar untuk menarik sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat diikuti oleh Najib satu persatu. Misalnya mengenai penilaian semula ke atas DEB, Anwar suruh mansuh tetapi Najib memberi beberapa kelonggaran kepada kaum lain yang sebelum ini dilihat ketat. Tawaran jawatan kepada tokoh politik di Sabah dan Sarawak dibuat Anwar, juga turut diikuti dan dilaksanakan oleh Najib.
Tetapi dalam soal Chin Peng nampaknya Najib tidak terikut dengan rentak dan tarian Anwar. Najib nampaknya substantif dalam soal ini.
Apakah tindakan Najib itu betul? Mungkin Najib sudah mendapat maklumat dan juga pandangan balas dari semua pihak di sebalik ura-ura Chin Peng nak pulang itu. Mungkin beliau telah mengkaji kesan dan akibat daripada keputusan yang dibuat itu. Tentunya dalam hal ini Najib mengira ia tidak menjejaskan wibawannya sebagai perdana menteri dan tindakan itu tidak merugikan UBN.

Saya secara peribadi tidak merasa dukacita kalau Najib tidak mahu memenuhi hasrat Chin Peng dan membenarkan bekas Setiausaha Agung PKM itu kembali ke negara ini. Apa yang ditanggung Chin Peng kini adalah hasil apa yang beliau lakukan sejak lebih 40 tahun lalu. Walaupun ada sejarah baru 'pro kontra' berhubung jenayah dilakukan Chin Peng, namun sebahagiannya telah diterima sebagai bahan dan catatan sejarah yang diakui umum.

Sudah tentu UBN yang memerintah negara ini ia berpegang kepada sejarah yang menguntungkannya. Kalau sejarah perjuangan Chin Peng hendak dibetulkan semula tunggulah bila kerajaan baru yang menyetujui dan bersimpati dengan Chin Peng. Buat masa ini saya tidak fikir sejarah itu kandatipun betul ia akan diterima sebagai sejarah benar dan tepat.

Bagaimana pun dalam melihat ketegasan Najib ini saya tidak harap ia akan bersikap begitu ke atas Nik Abdul Aziz Nik Mat. Hendaknya Najib tidak akan mengambil sikap tegas begitu dalam melayan Nik Aziz berhubung tuntutan royalti petroleum oleh Kelantan.

Umum tahu semalam kerajaan negeri menerusi seorang Exco telah menulis surat untuk berjumpa dengan Najib bagi membincangkan isu royalti petroleum untuk Kelantan. Surat itu dihantar selepas Najib menyatakan isu royalti itu boleh dirundingkan. Kenyataan Najib itu telah diambil kesempatan cepat oleh seorang Exco berkenaan untuk berjumpa dan berbincang dengan Najib. Saya melihat tawaran untuk berunding itu sebagai cabaran kepada Najib.

Kenapa saya berkata begitu? Kerana sebelum ini beberapa pihak di Kelantan tidak mahu berunding dan berkeras tidak mahu pemberian wang royalti itu sebagai wang ehsan dan mahu menuntutnya menerusi mahkamah, termasuk mahkamah antarabangsa. Menurut pihak tertentu Kerajaan negeri sudah pun membentuk panel peguamnya untuk memulakan tindakan.

Tetapi bila Najib menyatakan ia boleh dirundingkan, alih-alih kerajaan Kelantan mengubah sikap, dari keras dan tegas menjadi lembut. Baguslah kalau begitu. Saya sendiri sudah lama percaya kepada perundingan. Kalaulah isu hasil petroleum ini dirunding sejak awal-awal dulu mungkin perkara ini sudah hampir selesai.

Jadi cadangan Kelantan untuk berunding dengan Najib itu harus didoa oleh semua penduduk Kelantan. Biarlah ia berjaya dan membawa hasil untuk kebaikan rakyat Kelantan. Cuma apa yang saya bimbang apakah Najib sedia menerimanya setelah pihak tertentu dan Nik Aziz sendiri mengecam hebat Najib sebelum ini?

Demi untuk rakyat dan keadilan, harapnya Najib tidak terkilan dengan apa yang berlaku. Sebagai perdana menteri Najib harus berfikir lebih tenang dan tersusun berbanding dengan orang lain. Segala kecaman dan cacaian ke atasnya itu boleh dilupakan. Kalau Najib boleh melakukannya beliau akan lebih dihormati oleh rakyat Kelantan.

Andainya Najib juga mengambil keputusan seperti mana dilakukan ke atas Chin Peng alangkah sedih dan tersinggungnya saya sebagai rakyat Kelantan yang tidak ada apa-apa kepentingan untuk melihat Kelantan menerima hasil yang dikeluarkan oleh muka buminya itu. Pun begitu kita tidak boleh salahkan Najib sebab beliau juga manusia yang ada perasaan untuk membalas dendam.

Apapun saya tidak mahu mendoakan Najib dan kerajaannya jahanam, tetapi mahu mendoakan agar Najib sedia menerima surat hasrat kerajaan Kelantan itu kemudian berunding dengan Nik Aziz. Kalau ini Najib dapat lakukan saya percaya martabat dan kedudukan Najib makin dihormati di mata umum.  Apa pun, Nik Aziz sememangnya negarawan unggul.."

dari Tranungkite 

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...