TEMERLOH, 3 Dis: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan petugas parti supaya berusaha keras menarik lebih ramai masyarakat khususnya anak muda menyokong dan menjadi ahli PAS.
Tumpuan juga harus diberikan kepada pendaftaran ahli dan penyokong ke dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan mereka layak mengundi dalam pilihanraya umum akan datang.
Beliau ketika berucap pada ceramah anjuran PAS Kawasan Temerloh baru-baru ini memberitahu, gerakan berterusan ke arah itu perlu diperkasakan sebagai persiapan awal berdepan pelbagai kemungkinan sebelum berlakunya pilihan raya.
“Kita ada pengalaman bagaimana petugas dan penyokong parti yang kuat bekerja dalam program parti terutama di musim pilihanraya tetapi gagal menunaikan tanggung-jawab mengundi semata-mata kerana namanya tiada dalam senarai daftar pemilih. Ini merugikan,” katanya.
Menyentuh mengenai peranan rakyat sebagai hakim yang adil dalam menghadapi proses pilihanraya bagi menentukan pemimpin yang dipilih benar-benar jujur melaksanakan tanggung-jawab kepimpinan, Abdul Hadi mahukan rakyat di negara ini mencontohi negara yang maju dalam amalan demokrasi berpilihanraya bagi menjaga kepentingan rakyat dan negara.
“Rakyat di negara ini mestilah mencontohi negara yang maju dalam system demokrasi berpilihanraya. Di negara lain rakyat menggunakan kuasa mereka sebagai hakim bagi menjatuhkan parti yang melakukan kesilapan dalam pemerintahan.
“Kita tengok di Amerika dan di India juga di negara lain pemimpin bertukar ganti kerana rakyat bertindak secara bijak dan adil. Di negara kita dah 50 tahun lebih tak tukar-tukar, walau pun pemerintah rasuah, pemerintah menyeleweng. Ini tak betul, rakyat kena berlaku adil,” katanya.
Terdahulu beliau menyempurnakan pelancaran lot tanah wakaf bagi pembangunan Markaz PAS Chempaka, di Lanchang.
dari Harakahdaily
0 comments:
Post a Comment