Bunga Api


Thursday, December 3, 2009

Ubat Pahit 2 - Perjuangan yang meretak !


Oleh : gopeng-hagen


Perpecahan dalam sejarah perjuangan Islam bukan perkara baru, meneroka dan menerjah kembali sejarah akan menemukan kita dengan kisah-kisah perit pertembungan sesama mereka yang mengaku memperjuangkan agama.

Para sahabat selepas kewafatan Rasulullah juga tidak terlepas dari perbezaan dan pembentukan puak-puak berdasarkan aliran pemikiran. Lihat sahaja pertentangan idea di antara Abu Bakar dan Umar, antara Ali dan Muayiwah, Othman dan sebilangan besar sahabat-sahabat. Namun apa yang kita yakini perbezaan pandangan dan idea mereka adalah berasaskan ilmu, walaupun tidak dinafikan sebagai manusia biasa sudah pastinya ada kelemahan yang membawa kepada penentangan dari pihak-pihak lain.


Sejarah juga menukilkan betapa khilafah Islam menemui ajal akibat perpecahan dan permusuhan sesama mereka. Kehancuran khilafah Muawiyah, Abbasiah, Fatimiyah, dan juga Uthmaniah banyak disebabkan oleh perpecahan dalaman dan faktor kekuatan musuh amat sedikit menjadi akibat keruntuhan empayar Islam.

Di dalam gerakan Islam pasca khilafah, perpecahan dan perbedaan pendekatan juga menular di dalam jemaah, Ikhwanul Muslimin, Jamiat Islami, parti refah dahulunya Milli Salamet, Nahdatul Ulama ataupun Muhammadiyah adalah gerakan-gerakan Islam yang terpaksa melalui proses pemurnian dan pembersihan dalaman.

Tidak sedikit pimpinan tertinggi mahupun ahli yang tidak melepasi tanzim ini, malahan ada yang membawa diri dan terus berdiri di pihak yang pernah mereka musuhi ketika di dalam jemaah dahulu.

Parti Islam Semalaysia (PAS), sebegai sebuah gerakan Islam tidak terlepas dari melalui proses saringan ini. Malahan sejarah menukilkan betapa pimpinan yang mengasaskan PAS sendiri hanyut di dalam proses ini. Presiden PAS, Timbalan Presiden, Ketua Dewan Ulama', Ketua Pemuda Pusat hanyalah sebahagian dari sejarah yang perit itu.

Tetapi denyut nadi perjuangan Islam di dalam PAS tidak mati dengan gugurnya nama-nama besar tersebut, malahan semakin laju dan berdegup kencang bagai genderangan mahu berperang.

Proses ini telah berjaya mematangkan PAS sehingga mampu bangkit dari kekecewaan demi kekecewaan dalam pilihanraya untuk menjadi parti yang mengetuai 3 buah negeri. Malahan PAS hampir mempunyai kekuatan yang sama dengan BN yang ditunjangi oleh komponen kerajaan.

Kemenangan yang diperolehi di dalam pilihanraya ke-12 rupa-rupanya adalah ujian dari Allah untuk sekali lagi memproses isi kandungan jemaah ini. Bahtera yang tenang belayar di lautan dalam, rupa-rupanya telah reput dimamah usia dibahagian terasnya. Anak-anak kapal yang dahulu sanggup bersusah payah bermandi keringat dan darah demi agama, terkesima melihat orang atasan kapal sibuk membina kapal baharu dari kekayaan yang mula bertimbun.

Tidak kurang juga khabar angin yang bertiup ada yang mahu meminta bantuan dari kapal lanun atas dasar persaudaraan laut dan dari daratan yang sama. Mujurlah nakhodanya terus teguh dan tegap di huluan kapal, memacu bahtera walaupun kelam di hadapan semakin hitam, ombak membadai menggulung ganas, angin dan air bercampur menjadi pembunuh yang kejam. Tuan Guru Nik Aziz terus kukuh mempertahankan kapal yang terbina atas dasar aqidah dan tidak sama sekali terpalit dengan agenda bangsa mahupun suku.

Andai sejarah boleh berbicara pastinya sudah lama ia berbisik pada telinga kita, betapa ia akan datang kembali. Jika dahulu bahana dan gelombang proses pembersihan ini menghanyutkan kepimpinan tertinggi PAS, tiada apa yang mustahil kali ini proses itu akan berulang.

Jika akidah islamiyah yang menjadi tiang seri perjuangan ini dikompromikan dengan anutan nasionalisme dan kebangsaan, maka tunggulah saatnya kehancuran datang menimpa. Sebelum kehancuran itu tiba, pembuat onar dan makar walau apa pun jawatan dan kedudukannya harus melalui proses pembersihan. Kalau mereka lulus, kita akan angkat mereka jauh lebih tinggi dari sebelumnya, tapi kalau mereka gagal, maka perjuangan ini tidak pernah mengenal erti belas pada munafik dalam perjuangan.

Sekiranya gelombang kali ini terus membadai dan menghempas bahtera sehingga retak dua, tiga, lima atau seribu, maka itulah lumrah yang harus diterima. Persoalannya ke mana hala tuju anak-anak kapal yang setia dengan bai'ah untuk terus bersama Islam. Mahu bersama dengan kapal lanun yang mewah dan gagah bersama-sama sebahagian bekas atasan , dan terus melaungkan perjuangan agama walaupun pada bahtera lanun yang noda, atau terus berpaut pada pecahan-pecahan kapal dengan doa agar daratan datang memanggil, agar bisa membina bahtera baru atas dasar yang dibai'ahkan bersama. (sumber)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...