Bunga Api


Wednesday, April 4, 2012

Projek Terbengkalai '150 Meter' Dari Rumah Najib, Pembeli Kecewa Sikap ADUN Dan Perdana Menteri

PEKAN, 4 April - Para pembeli projek rumah Pusat Pekan Jaya Fasa II dekat sini, kecewa dengan sikap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya iaitu YB Ibrahim Awang (foto) kerana masih gagal menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka biar pun selepas beberapa tahun menjadi Wakil Rakyat di kawasan terbabit. Sikap acuh tak acuh ADUN terbabit dalam menyelesaikan masalah yang ditanggung oleh para pembeli ini kini semakin kritikal, tambahan pula Pilihan Raya Umum ke-13 kini semakin hampir. Justeru, pihak berkenaan gusar jika isu ini dijadikan "modal politik" oleh pihak pembangkang untuk membuktikan laungan "rakyat didahulukan" oleh kerajaan itu sekadar "indah kabar dari rupa". Inilah senario yang berlaku kepada 22 pembeli rumah yang kini menjadi mangsa akibat kegagalan pemaju (Exact Management Sdn Bhd) menyiapkan rumah yang mereka beli dengan harga antara RM190,000 hingga RM250,000 itu. Menurut seorang pembeli yang ditemui, beliau hairan kenapa pemimpin setempat termasuk Perdana Menteri Malaysia, Datuk Sri Najib Tun Razak sendiri tidak cakna dengan isu itu. "Bayangkan sudah banyak kali kami ajukan perkara ini kepada YB terbabit dan juga PM sendiri. Namun jawapannya tunggu dan lihat ... sedangkan kami terpaksa membayar pinjaman perumahan sejak setahun yang lalu. Bila diajukan kepada pihak berkenaan, mereka dengan mudah berjanji akan menyelesaikannya. Tapi, apa yang terjadi kami kini seolah-olah orang asing dibumi sendiri. Mereka melayan "warga asing" dengan baik di Pekan terutamanya Kamboja, Myanmar dan sebagainya. Tapi rakyat Pekan sendiri yang berbangsa Melayu kini dianaktirikan. Kami tidak diberi keistimewaan, walau pun kesemua pembeli adalah berbangsa Melayu. Mana pergi laungan, Hidup Melayu yang diwar-warkan selama ini", katanya yang tidak mahu nama beliau disiarkan. Sebelum ini, PDO pernah menyiarkan rintihan para pembeli terbabit dalam artikel terdahulu yang bertajuk "Pembeli Kecewa, PM Najib Tergamak Tutup Mata Menyelesaikan Masalah Projek Terbengkalai Yang 'Hanya 150 Meter Dari Rumahnya' Di Pekan". Malah, isu berkenaan juga telah disiarkan dalam akhbar Suara Keadilan selepas itu. Namun difahamkan, sehingga ke saat ini tiada sebarang tindakan yang dilakukan oleh pihak pemaju mahu pihak pihak yang berkenaan untuk menyelesaikan masalah ini. Difahamkan juga, rata-rata pembeli adalah pegawai kerajaan yang antara mereka termasuk guru dan juga kakitangan sebuah IPT di Pekan.



Kawasan rumah telah dinaiki semak samun gara-gara projek terbengkalai

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...