KOTA BHARU, 11 April: Veteran Umno, Tengku Razaleigh  Hamzah dan bekas Ketua Pemuda Umno Kelantan, Dr Zayadi Awang Noh secara  terbuka menyatakan sokongan terhadap perhimpunan Bersih 3.0 bagi  memastikan pilihan raya lebih adil dan telus.
  “Kita mahu peranan media lebih adil dan bebas. Begitu juga dengan  penggunaan jentera dan kakitangan kerajaan ketika pilihan raya tidak  boleh disalahgunakan. Kita mahu pilihan raya benar-benar adil dan bebas.
  “Malah ia selaras dengan tuntutan Angkatan Amanah Merdeka. Jadi saya  serah kepada ahli-ahli Amanah untuk hadir pada perhimpunan tersebut pada  28 April ini,” kata Tengku Razaleigh menjawab soalan penonton pada  Bicara UT6 – PRU-13 Perjuangan dan Amanah di Kelantan Trade Centre malam  tadi.
  Program itu anjuran bersama www.uttv.biz turut diadakan pelancaran Amanah peringkat negeri Kelantan. Dr Zayadi dilantik sebagai pengerusi Amanah Kelantan.
  Bekas veteran Umno Ketereh, Sabri Shafei bertindak sebagai moderator.  Turut hadir veteran Umno, Datuk Mazlan Harun dan Tamrin Ghaffar. Dewan  konvensyen penuh dengan gabungan antara penyokong Umno, PAS dan PKR.  Malah ramai yang datang dari Gua Musang.
  Perhimpunan Bersih 3.0 akan diadakan pada 28 April ini ekoran banyak  pihak tidak berpuas hati terhadap tuntutan Bersih 2.0 tak diterima  kerajaan sepenuhnya biar pun Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen  diwujudkan bagi tujuan tersebut.
  Seorang penonton tiba-tiba meneriakkan Tengku  hendak pergi ke..  Tengku Razaleigh menjawab itu terpulang kepada ambo hendak pergi atau  tidak pada perhimpunan tersebut.
  Program Biacara UT6 sendat dengan pelbagai isu menarik yang berlaku  sekarang. Seorang anak muda mengajukan soalan agak panas dengan  menanyakan bilakah Ku Li dan Dr Zayadi mahu meninggalkan Umno  memandangkan parti itu didedah mereka sarat pelbagai penyelewengan.
  Dr Zayadi yang pernah dilucut jawatan sebagai Exco Umno Malaysia  selepas penyingkiran Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyatakan sokongan  padu terhadap usaha dilakukan Bersih 3.0.
  “Siapa yang takut kepada Bersih bermakna dia itu kotor. Begitu juga  kalau ada orang takut kepada Amanah dia itu khianat. Jadi tidak ada  sebab untuk tidak menyokong Bersih 3.0,” ujarnya.
  (Ikuti pendedahan lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang).
   



 
  


 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
0 comments:
Post a Comment