KUALA LUMPUR: Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said akan mengetuai pusingan kedua protes di KLCC esok bagi membantah Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 yang diluluskan Dewan Rakyat Selasa lalu dan kini menunggu kelulusan Dewan Negara.
Taman yang sama, Sabtu lalu, menyaksikan kehadiran kira-kira 400 penunjuk perasaan.
Kebanyakan mereka berpakaian kuning sebagai menyokong pergerakan BERSIH 2.0 dan berkumpul serta bernyanyi, mengedar belon dan bunga, meniup buih sabun dan mengamalkan yoga untuk menunjukkan rasa kurang senang dengan dengan undang-undang baru yang didakwa menyekat kebebasan untuk berhimpun.
“Minggu ini, kami akan lakukannya lagi. Pak Samad akan menyertai kami untuk mendeklamasikan beberapa puisi.
“Marilah kita banjiri KLCC tanpa permit polis. Marilah kita tentang undang-undang yang bodoh ini. Marilah kita pertahankan kebebasan kita,” tulis seorang penganjur itu, Wong Chin Huat, di Facebook beliau.
Samad, 76, yang lebih dikenali sebagai Pak Samad seorang penyajak dan penulis novel yang tidak asing lagi dengan demonstrasi. Beliau pernah mengetuai bersama perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai dan perhimpunan anti-PPSMI pada tahun 2009.
Acara bermula jam 2 petang itu sekali lagi dianjurkan melalui Facebook. Ia menuntut rang undang-undang itu ditarik balik segera dan semua rakyat Malaysia di luar negara dibenarkan mengundi secara pos.
Mengikut MalaysiaKini, penganjur berharap untuk bilangan yang akan hadir kali ini akan meningkat kepada 800 orang. Setakat ini, tidak kurang 300 warga maya telah mengesahkan penyertaan mereka.
Tidak seperti minggu lalu, penganjur kali ini meminta para peserta membawa makanan untuk “perkelahan petang” dan seperti lazimnya untuk membawa bersama bendera, belon dan bunga, serta berpakaian dengan warna kuning.
Keadilan Daily
0 comments:
Post a Comment