MALAM tadi dalam program "Rapat Rakyat" yang diadakan bersebelahan dengan stadium Shah Alam, ribuan rakyat Selangor hadir mendengar amanat yang disampaikan oleh pemimpin Pakatan Rakyat.
Antara yang hadir termasuk MB Selangor, Khalid Ibrahim, Tuan Guru Nik Aziz, Tuan Guru Hadi awang, Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang serta sasterawan negara A Samad Said.
Apa yang benar-benar menyentuh hati ReJaM©, di saat hujan gerimis, rakyat Selangor yang hadir mendengar amanat pemimpin dilihat langsung tidak berganjak.
Meskipun gagal mendapatkan tempat berteduh di bawah khemah-khemah besar yang disediakan kerana sudah dipenuhi oleh pengunjung yang hadir lebih awal, mereka sanggup ditimpa hujan.
Ada yang memakai payung dan menutup kepala dengan jaket, tidak kurang yang bersahaja tanpa penutup kepala. Wajah mereka ceria dan tenang seperti tiada apa yang berlaku.
Bagaimanapun, hujan gerimis tidak begitu lama, hanya kira-kira 30 minit menyaksikan lebih ramai rakyat Selangor datang berpusu-pusu untuk mendengar amanat pemimpin selepas hujan mulai reda.
Apapun, rasanya eloklah selepas ini disediakan khemah yang lebih besar dan kerusi yang lebih banyak bagi menampung ribuan rakyat yang hadir seperti ini.
0 comments:
Post a Comment