KUALA LUMPUR:
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) meminta jawatankuasa
Kempen Anti Saman Ekor (Kase) serta Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi
Manusia (Juham) terus komited dalam usaha mendesak kerajaan menghapuskan
Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).
Timbalannya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, keputusan terbaru
yang dikeluarkan oleh Pejabat Peguam Negara dengan mengarahkan supaya
semua prosiding kes saman di mahkamah melalui AES digantung serta merta
kerana timbul pelbagai masalah yang lain, meskipun saman yang
dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah sah.
“DPPWP menganggap keputusan ini adalah kejayaan awal Kase dan Juham
dalam memperjuangkan hak rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, ternyata perjuangan berterusan untuk kepentingan orang
ramai tanpa rasa jemu akan membuahkan hasil sehingga kerajaan tunduk
kepada tekanan yang diberikan.
Katanya, kelemahan dan kepincangan di sebalik sistem AES serta pihak
tertentu yang bakal mengaut keuntungan dari keperitan rakyat perlu terus
didedahkan supaya rakyat mengetahui nawaitu sebenar pelaksanaan AES ini.
Dalam pada itu, kata beliau DPPWP menyokong gesaan kerajaan Pulau
Pinang supaya Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Chong Ha membatalkan
300,000 saman yang dikeluarkan oleh AES.
Beliau berkata, dengan keputusan yang dikeluarkan Pejabat Peguam
Negara semalam, amat wajar Menteri Pengangkutan mengarahkan JPJ
membatalkan saman yang dikeluarkan serta merta,” ujarnya.
“Pengumuman Pejabat Peguam Negara semalam ibarat suatu tamparan hebat
kepada kredibiliti beliau selaku pemimpin yang bertanggungjawab dalam
projek ini, dan bagi memikul kesilapan ini sepatutnya beliau memohon
maaf kepada rakyat Malaysia khususnya mangsa AES dan seterusnya
meletakkan jawatan,” katanya lagi.
0 comments:
Post a Comment