Bunga Api


Tuesday, February 14, 2012

MAJLIS FATWA PERLU RESPON 'FATWA' HARUSSANI



SHAH ALAM - Datuk Dr Ismail Ibrahim meminta Majlis Fatwa Kebangsaan menyatakan pendiriannya berhubung kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria yang berpandangan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak telah “menggadai akidah” apabila menghadiri sambutan Thaipusam, Selasa lalu.


Bekas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan ini berkata, jawapan rasmi terhadap "fatwa" dibuat Harussani harus disegerakan kerana ia mungkin mengelirukan umat Islam jika tidak dimuktamadkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan seterusnya disahkan Majlis Raja-raja sendiri.


Beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia berkata, isu seberat ini tidak mungkin dilihat sebagai satu perselisihan pendapat atau perbezaan pandangan sahaja seperti perbezaan pentafsiran dalam hal-hal ranting dalam agama Islam.


"Hal akidah bukan lagi merupakan masalah kecil seperti masalah perbezaan mazhab dalam beberapa hukum cabang yang dikenali sebagai masalah Furu' bukan masalah usul. Hal akidah adalah merupakan hal iman, Islam seseorang," kata beliau dalam entri terbaru blognya.


Ismail yang yang juga bekas duta Malaysia ke Arab Saudi berkata, beliau tidak berniat hendak menyokong atau membangkang kenyataan Mufti Perak yang mengatakan bahawa Perdana Menteri telah menggadaikan akidahnya dengan menghadiri perayaan Thaipusam.



Justeru soal beliau, "menggadai akidah adakah bermakna mencemarkan akidah? Menggadaikan akidah adakah bermakna terkeluar dari akidah Islam, dan seterusnya menjadi syirik?"


Katanya, "kalau inilah maksud menggadaikan akidah yang disebutkan oleh Mufti Perak itu, maka hal ini telah menjadi satu fatwa yang amat berat dan serius kepada umat Islam, terutamanya kepada batang tubuh Perdana Menteri sendiri, dan pihak bertanggungjawab tentang agama di negara kita haruslah memberikan perhatian yang serius juga kepada fatwa ini."


Tambah beliau, hal yang berhubung dengan akidah bukan perkara mudah kerana akidah merupakan keimanan kepada agama Islam itu sendiri dan akidah yang tergadai sekiranya dimaksudkan akidah yang telah tercemar atau terkeluar dari akidah Islam, maka orang itu dengan sendirinya menjadi tidak mukmin dan tidak Islam, syirik dan kafir.



"Apakah pengertian ini yang dimaksudkan oleh Mufti Perak dengan ungkapan menggadaikan akidah itu? Juga kenyataannya tentang perbuatan syirik yang dilakukan oleh Perdana Menteri itu," ujar beliau.



Malah katanya, hal itu perlu diperjelaskan supaya umat Islam tidak menjadi keliru dengan fatwa Mufti Perak tentang orang Islam yang menyertai perayaan tersebut.



"Mungkin Jakim, Majlis-majlis Agama Negeri, Majlis Fatwa Kebangsaan, malah Raja-raja Melayu sendiri sebagai Ketua Agama Negeri perlu segera mengambil tindakan bagi membincangkan fatwa Mufti Perak ini dan memberikan keputusan yang muktamad dalam isu ini," katanya lagi. -
sinarharian

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...