Bunga Api


Thursday, January 26, 2012

Ketua Audit Negara Kesal Sikap NFC Dan Perkasa Persoal Integriti Dan Kreadibiliti Tugas Jabatannya!

KUALA LUMPUR, 26 Jan - Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang (foto) kesal dengan Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFCorp) dan Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) yang mempersoalkan integriti dan kredibiliti juruaudit-juruaudit jabatannya menjalankan tugas. Beliau berkata, jabatannya mahu menekankan bahawa kerja-kerja mengaudit ke atas projek NFC dijalankan secara profesional dan bebas tanpa sebarang prejudis kepada mana-mana pihak.


"Jabatan Audit Negara (JAN) menjelaskan bahawa pengauditan terhadap projek NFC ini telah dibuat secara bebas dan profesional tanpa sebarang prejudis kepada mana-mana pihak. "Sebarang kenyataan yang mempertikaikan kewibawaan dan integriti juruaudit JAN adalah dikesali,"
kata Ambrin dalam satu kenyataan. Baru-baru ini, pengerusi NFCorp, Datuk Seri Mohamed Salleh Ismail menegaskan bahawa entiti perniagaan yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010 tiada kaitan dengan NFCorp. Sebaliknya, tegas Mohamed Salleh, ia adalah Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) yang dikendalikan oleh Kementerian kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA).


Mohamed Salleh dilaporkan berkata, berlaku kekeliruan antara NFCorp iaitu sarikat persendirian, dengan NFC, syarikat kepunyaan MoA. Sementara itu, Perkasa pada Ahad lalu mencabar NFCorp mendedahkan kelemahan yang dilakukan pegawai-pegawai yang mengendalikan urusan Laporan Ketua Audit Negara 2010 sehingga merosakkan reputasi syarikat berkenaan dan menjejaskan imej kerajaan. Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, laporan itu sesuai diguna pakai dalam kementerian dan agensi kerajaan tetapi tidak untuk syarikat swasta. Beliau berkata, pegawai yang membuat audit mungkin keliru dengan beberapa perkara, antaranya, National Feedlot Corporation atau NFCorp adalah milik Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail manakala NFC adalah dimiliki syarikat kerajaan dan pada masa yang sama mengusahakan ladang satelit.


[Ekoran laporan Ketua Audit Negara 2010, Pakatan Rakyat sebelum ini mendedahkan dana RM250 juta yang diberikan kepada syarikat NFC milik suami Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil untuk projek penternakan lembu disalah guna. Ianya termasuk pembelian dua kondominium mewah di Bangsar, Kuala Lumpur, dan dituduh menggunakan dana kerajaan untuk perbelanjaan peribadi keluarganya. Pakatan Rakyat turut mendakwa keluarga Shahrizat menggunakan sejumlah RM600,000 daripada dana NFC bagi membiayai pembayaran bil kad kredit mereka pada 2009. Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli mendakwa suami Wanita Umno itu dan anak-anaknya yang menjadi lembaga pengarah NFC, menggunakan dana daripada RM250 juta untuk projek berkenaan bagi membayar bil kad kredit yang berjumlah melebihi RM10,000 sebulan sepanjang tahun tersebut. Namun begitu, pentadbiran NFCorp menepis dakwaan tersebut dan menegaskan penggunaan kad kredit tersebut adalah untuk kegunaan perniagaan].


sumber: Pahangdaily

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...