Bunga Api


Wednesday, December 21, 2011

Banjir Di Johor Semakin Buruk, 3,310 Dipindahkan

Johor Bahru: Mangsa banjir di seluruh Johor meningkat kepada 3,310 orang hingga jam 9.45 malam tadi, dengan Kluang menjadi daerah paling teruk terjejas membabitkan pemindahan 2,703 mangsa daripada 695 keluarga.


Setakat ini, 42 pusat pemindahan sudah beroperasi meliputi tiga daerah, membabitkan 23 pusat di Kluang, lima di Segamat dan empat di Batu Pahat.


Cuaca mendung di sekitar Johor Bahru sepanjang hari semalam, membolehkan penduduk Kampung Laut yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Batu 10, Skudai, pulang ke rumah masing-masing.


Di Kluang, kawasan teruk terjejas di Mengkibol dan Kahang dengan enam pusat pemindahan dibuka, selain lima di Machap, tiga di Paloh, manakala masing-masing dua di Layang dan Mahkota.


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr Robia Kosai, berkata beliau agak kecewa dengan sikap penduduk di kawasan tertentu yang terjejas banjir menunggu hingga saat akhir untuk berpindah.


Katanya, sikap seumpama itu bukan saja menyusahkan diri malah menyukarkan pasukan penyelamat menjalankan operasi pemindahan apabila banjir melanda terutama pada waktu malam.


“Semua penduduk yang berada di kawasan terdedah banjir, wajar mengambil langkah awal memastikan dokumen dan barang berharga dipindahkan ke tempat selamat sebelum bencana melanda.


“Kita juga minta pasukan keselamatan khususnya polis untuk menjalankan rondaan di kawasan kampung dan perumahan yang terpaksa ditinggalkan oleh mangsa banjir bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya ketika meninjau mangsa banjir di Kluang, petang semalam.


Di Batu Pahat, sebuah pusat pemindahan baru dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru dan sehingga jam 2 petang semalam, 24 orang mangsa daripada tujuh keluarga telah ditempatkan di sana.


Kini terdapat empat pusat pemindahan di Balai Raya Haji Kamisan, SK Kota Dalam dan SK Taman Sri Kota dan jumlah keseluruhan 88 mangsa.


Di Segamat, lima pusat pemindahan dibuka sehingga jam 3 petang, semalam, membabitkan Balai Raya Kampung Pogoh 2, Kampung Usahajaya, Spangloi, Balai Islam Kampung Paya Dalam dan Batu Badak membabitkan 223 mangsa daripada 46 keluarga.

Di Muar, jurucakap bilik gerakan banjir daerah itu memaklumkan keadaan masih terkawal, bagaimanapun mereka diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga berikutan keadaan cuaca yang mendung sepanjang hari. -BH



0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...