KUALA LUMPUR - PKR mendakwa ramai pemimpin Barisan Nasional (BN), turut terbabit dalam isu National Feedlot Corporation (NFC), syarikat berkaitan dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution berkata, pendedahan ini jelas menunjukkan dana diperoleh daripada kerajaan disalahgunakan untuk keluarga dan ahli Umno.

“Ini berdasarkan rekod kewangan syarikat, pada tahun 2008, NFC membuat pembayaran dipercayai bagi perbelanjaan Ketua Wanita Umno itu, sebanyak RM26,400.

“NFC juga membuat pembayaran kepada suami Shahrizat, Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail dan anaknya, Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh berjumlah RM398,640 sebagai pembayaran sewa pejabat pada tahun 2009 di Mont Kiara,” katanya.

Isu pinjaman RM250 juta kepada NFC dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan projek ternakan lembu, menjadi panas termasuklah pernah berlaku pertikaman lidah antara penyokong kerajaan dan pembangkang pada sesi penggulungan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Parlimen dan selepas dikeluarkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010.

Pinjaman RM250 juta itu, dikatakan disalahgunakan, termasuklah pembelian kondominium mewah bernilai RM9.8 juta di Bangsar.

Mengulas perkara sama, Saifuddin mendakwa, mereka juga mendapati syarikat berkenaan turut, menderma lembu kepada seorang menteri (BN) pada tahun 2009 berjumlah RM5,281.87 dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (BN).

NFC dikatakan membuat penjualan lembu secara kredit kepada seorang Ahli Parlimen BN RM70,000 pada tahun 2008 dan hanya membuat pembayaran pada 2009 secara kredit.

“Perkara ini menjadi persoalan kenapa ia berlaku, seharusnya dana diberi harus digunakan untuk rakyat dan peladang.

“Sebaliknya, NFC menjadi penyumbang kepada ahli politik kerajaan, yang mempergunakan dana tersebut demi kepentingan mereka,” katanya.