Bunga Api


Saturday, August 6, 2011

Proses pasport sejam di 1Stop S'wak

Berkuatkuasa 1 Ogos, permohonan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) dan Dokumen Perjalanan (DP) di Sarawak semakin mudah dan cepat dengan khidmat Kaunter 1Stop dengan pemprosesannya siap dalam masa sejam.


Pengarah Jabatan Imigresen Sarawak Datuk Robert Lian berkata, di bawah sistem Kaunter 1Stop, PMA dan DP diproses dan disiapkan di satu kaunter sahaja yang meliputi urusan pembayaran, semakan, kelulusan dan juga pertanyaan lanjut.


"Kita telah memulakan tempoh percubaan melaksanakan sistem kaunter tersebut mulai 1 Julai hingga 31 Julai lepas di kaunter ibu pejabat Jabatan Imigresen, di Kuching dan setelah didapati berjaya ianya telah dilaksanakan pada 1 Ogos yang lalu.



NONE"Proses ini memendekkan masa pemerosesan semakan di kaunter dan pelanggan akan bertambah selesa," katanya dan menurutnya semuanya akan disempurnakan dalam tempoh sejam.


Hanya PMA dan DP yang telah siap akan diserahkan kepada pemohon di kaunter berlainan, katanya kepada Bernama di sini hari ini.


Beliau berkata tempoh operasi kaunter tersebut pada Isnin hingga Jumaat ialah mulai 7.30 pagi hingga 5.30 petang manakala pada Sabtu dan Ahad pada 8 pagi hingga 1 tengah hari.


Beliau berkata sistem Kaunter 1Stop ini akan diperluaskan ke pejabat-pejabat Jabatan Imigresen di bandar lain di negeri ini sekiranya mendapat sambutan mengalakkan.


"Sekarang orang ramai mempunyai banyak opsyen semasa berurusan dengan Jabatan Imigresen Sarawak, bagi yang hendak memperbaharui PMA boleh berbuat demikian di kiosk pembaharuan pasport di tingkat bawah Bangunan Sultan Iskandar di Kuching.


"Pegawai Imigresen juga ditempatkan di kiosk tersebut untuk memudahkan pelanggan berurusan," katanya dan menurutnya dengan semua kemudahan itu, orang ramai tidak perlu menunggu lama untuk dilayani.


Beliau berkata bagi tempoh enam bulan tahun ini, Jabatan Imigresen Sarawak berjaya mengutip RM12 juta daripada pengeluaran pasport dan pelbagai DP.


--Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...