Bunga Api


Wednesday, July 13, 2011

BERSIH 2.0: Pelajar saksi warga tua dihenyak polis

10 Syaaban 1432H.

Seorang pelajar berkata beliau melihat seorang warga emas terjatuh dan dihenyak oleh polis ketika sepasukan lebih 100 orang anggota berkenaan menyuraikan perhimpunan BERSIH 2.0 berhampiran menara KLCC pada Sabtu lalu.

Pelajar berkenaan berkata, warga emas berkenaan mungkin merupakan individu yang meninggal dunia selepas dibawa ke hospital selepas terjatuh semasa perhimpunan itu berlaku.

"Saya rasa itulah pakcik yang meninggal itu. Saya nampak dia jatuh, kemudian saya nampak polis tengah hurung dia, tapi itu saya tak sempat rakam sebab saya tengah lari.

"Saya tak pasti tapi saya rasa dialah. Orang itu memang kena lanyak," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Ketika ditanya, pelajar itu berkata beliau tidak melihat sekiranya polis telah menendang lelaki terbabit, "tapi saya rasa polis henyak dia. Tak mahu bagi dia bergerak."

Individu berkenaan, Allahyarham Baharudin Ahmad menjadi perhatian apabila ia dikaitkan dengan dakwaan keganasan yang dilakukan polis ketika menyuraikan kumpulan yang berhimpun di sekitar ibu negara pada Sabtu lalu.

Polis setakat ini menyatakan bahawa Allahyarham Baharudin meninggal dunia akibat penyakit jantung, namun sebab sebenar kematian lelaki berkenaan masih menimbulkan tanda tanya.

Dalam kejadian pada petang itu, saksi mata tersebut berkata, beliau melihat kedua-dua tangan warga emas itu dipegang oleh anggota polis yang turut menghenyak lelaki tua berkenaan ke permukaan jalan.

"(Warga tua itu) dah jatuh, kemudian polis hurung dia. Saya nampak macam mereka henyak dia, saya nampak macam guna kaki. Yang saya nampak polis ada lima orang polis yang hurung," katanya lagi.

Pelajar berkenan juga berkata, beliau tidak melihat sama ada mangsa berkenaan berjaya melarikan diri ke bangunan Avenue K yang terletak kira-kira 200 meter daripada persimpangan berkenaan, seperti dilaporkan sebelum ini.

Ketika ditanya, beliau juga tidak dapat mengesahkan sama ada polis telah melepaskan gas pemedih mata sebelum menyerbu ke arah kumpulan yang berhimpun itu.

"Gas (pemedih mata) saya tak perasan sebab saya dah lari," kata pelajar berusia 19 tahun itu lagi yang menambah, kejadian berkenaan berlaku selepas polis berkenaan menggempur sekumpulan lebih 1,000 orang yang menyertai perhimpunan berkenaan.

Kumpulan berkenaan berhimpun di tengah-tengah persimpangan Jalan Ampang – Jalan Yap Kwan Seng – Jalan P Ramlee.

Selain warga emas tersebut, beliau turut melihat beberapa orang lagi turut terjatuh selepas sekumpulan anggota polis berpakaian seragam menyerbu kumpulan yang menyertai perhimpunan tersebut.

Kumpulan polis berpakaian seragam itu mara dari barisan belakang sekumpulan anggota FRU yang membentuk halangan di Jalan P Ramlee, berhampiran persimpangan berkenaan.
Pada masa itu juga, sepasukan polis dan FRU membentuk halangan di hadapan SJKC Lai Meng, di bahagian barat Jalan Ampang.

Difahamkan, polis pada masa itu bertindak untuk menyuraikan kumpulan berkenaan – yang bergerak daripada kawasan Kampung Baru – ke arah timur Jalan Ampang dan juga Jalan Yap Kwan Seng.

malaysiakini/-

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...